KUANTAN – Usaha menyerap guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke skim perjawatan tetap, kini berada di peringkat akhir, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.
Katanya, kertas kerja cadangan mengenainya telahpun disiapkan dan pihaknya kini sedang dalam usaha mendapatkan maklum balas, selain berunding dengan mereka yang berkepentingan dalam isu tersebut.
“Rundingan melibatkan aspek pelaksanaan dan pada Isnin ini, kita juga akan berbincang dengan ahli Parlimen,” katanya selepas merasmikan Pameran Malaysia Baharu bersempena Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Pahang 2019 anjuran Jabatan Penerangan di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa.
Media sebelum ini melaporkan cadangan lantikan guru KAFA ke skim perjawatan tetap itu dijangka dibentangkan ke Kabinet pada Julai, dengan jangkaan akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.
Dianggarkan terdapat 31,460 orang guru KAFA bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis KAFA seluruh negara ketika ini.
Sementara itu Fuziah berkata, pertandingan pengisahan kenegaraan yang melibatkan generasi muda khususnya pelajar sekolah dapat meningkatkan jati diri dan semangat patriotik dalam diri mereka.
“Peserta juga berpeluang menjelaskan nilai positif dalam menghargai pengorbanan tokoh negara kepada masyarakat, dan mengambil teladan daripada sejarah untuk sama-sama membantu mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, itu turut memberi peluang kepada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuka ruang pameran bagi mendekati masyarakat dan golongan sasar.
Kumpulan Pewaris Bangsa dari Lipis dinobatkan sebagai juaran pertandingan pengisahan kenegaraan peringkat Pahang tahun ini, dan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan selain akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
Mereka menewaskan 10 kumpulan lain, dengan tempat kedua dimenangi pasukan Anak Warisan Timur dari Raub, manakala kumpulan Kirana Jauhari yang mewakili Pekan menduduki tempat ketiga. – Bernama