KUALA LUMPUR – Databank DNA (Pangkalan Data DNA) perlu diperkemas dan ditambahbaik agar penggunaannya dapat luaskan, demikian kata Amidon Adnan.
Bekas Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman berpangkat supritendan itu berkata, kelemahan pangkalan data DNA dalam negara perkara perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib demi memastikan pihak polis dapat menyelesaikan membanteras pelaku kes pembunuhan dengan pantas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang faktor menyebabkan pelaku yang membunuh Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak berusia lapan tahun pada 20 Ogos 2007 tidak dapat diberkas sehingga hari ini.
“Saya terkilan. Isunya sekarang ia adalah orang awam. Seeloknya kita ada data bank DNA, sekarang kita ada tapi khas untuk orang tertentu sahaja, di mana saya tidak setuju,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemubual secara eksklusif baru-baru ini.
Penggunaan pangkalan data DNA (Databank DNA) secara meluas bukan sahaja dapat dimanfaatkan kepada rakyat malah bagi mengenalpasti warga asing yang masuk dalam negara, katanya.
“Saya berpendapat bila pasangan melahirkan anak, sebelum dibawa balik kena ambil DNA, sebelum dibenarkan bawa pulang anak itu.
“Siapa-siapa orang luar masuk negara kita kena ada DNA profiling. Kalau saya orang asing, saya lakukan pembunuhan, merogol tapi tidak dapat buktikan saya di tempat kejadian, walaupun saya mengaku.
“Saya tidak mahu salahkan sesiapa tapi kita kena fikir sudah tiba masanya untuk kita wujudkan DNA Data Bank secepat mungkin,” tambahnya.
Untuk rekod, kehilangan Nurin 12 tahun yang lalu berlaku ketika mangsa menuju ke sebuah pasaraya berdekatan rumahnya dan saksi kejadian melihat Nurin diculik dan dibawa masuk ke dalam sebuah van berwarna putih di Wangsa Maju.
Selepas 27 hari, mangsa dijumpai mati dalam keadaan berbogel di dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah memberi sedikit sebanyak maklumat berkenaan suspek yang membuang beg tersebut,” kata Amidon.
Mengulas lanjut tentang perkembangan penggunaan video CCTV secara meluas sejak kebelakangan ini sehingga melibatkan orang kenamaan, Amidon percaya negara kini mempunyai kepakaran yang cukup untuk menentukan kesahihannya.
Sama ada hasil video yang tersebar dan mendapat perhatian palsu, disunting mahupun tulin – ia boleh dikenalpasti.
Menurut beliau, penilaian dan analisa daripada pakar teknologi maklumat (IT) seperti mana CCTV yang dianggapnya sering membantu dalam siasatan kes pembunuhan dikendalikannya sebelum ini.
Justeru apa juga video katanya akan dapat dipastikan dihasilkan berdasarkan daripada konspirasi atau sebaliknya.
“Kita ambil panduan mendiang Canny Ong, CCTV nampak jelas Canny turun dari kereta sampai kereta tersebut keluar dari pusat beli belah dari situ kita dapat analisa apa yang sebenarnya berlaku (ia membantu).
“Sekarang kepakaran sudah ada di Malaysia, sudah boleh tahu sahih atau disunting, kita sudah ada kepakaran,” katanya lagi.-MalaysiaGazette