KUALA LUMPUR – Penghapusan Akta Hasutan 1948 didakwa hanya akan membuka ruang untuk kepentingan pihak tertentu tanpa mengambilkira negara dan rakyat secara keseluruhannya.
Perkara itu disuarakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang melahirkan kebimbangannya terhadap pihak-pihak berkepentingan apabila mahu aktu berkenaan dimansuhkan.
Menerusi kenyataan di Facebook Ahli Parlimen Marang menegaskan, akta berkenaan tidak perlu dihapuskan sebaliknya kerajaan sekarang perlu membincangkan takrif dan perkara yang dikatakan hasutan itu supaya ia tidak disalahgunakan.
Katanya, Akta Hasutan adalah antara akta diluluskan Parlimen yang mahu dimansuhkan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa kempen PRU-14 lalu.
“Kehebatan sesebuah negara sangat bergantung dengan kehebatan undang-undang bagi merealisasikan dasar-dasar dalam perlembagaan.
“Maka peranan undang-undang adalah memelihara kehidupan bermasyarakat yang seimbang dan menjaga segala kepentingan bagi semua pihak tanpa menjejaskan pihak lain.
“Bukan sekadar menjaga kepentingan pemimpin, kumpulan atau puaknya sahaja, bahkan dipanjangkan lagi peranannya sehingga menjaga semua makhluk dan alam sekitar,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, bukanlah bermakna ada perkara tertentu itu tidak memerlukan undang-undang sebaliknya, yang penting adalah kesaksamaan yang dinamakan keadilan untuk semua.
“Kita pernah mengalami perjuangan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga seolah-olah ke tahap tidak perlu adanya undang-undang menyelamatkan negeri dan negara. Adakah kita boleh hanyut berfikir sampai ke tahap itu?
“Adakah seruan dan janji menghapuskan Akta Hasutan yang kedengaran terkini sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja? Kadang-kadang suaranya nampak sebegitu,” soal Abdul Hadi.
Akta itu menjadi semakin panas baru-baru ini, apabila pendakwah bebas, Wan Ji Wan Husin dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, selepas gagal dalam rayuan kerana didapati bersalah atas tuduhan menghina Sultan Selangor.
Wan Ji didapati bersalah terhadap pertuduhan menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook wanji.attaaduddi.
Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, jam 10 pagi, pada 5 November 2014.
Susulan itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman yang dikenakan terhadap Wan Ji.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan hukuman berkenaan sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran. – MalaysiaGazette