KUALA LUMPUR- “Kalau hendak hukum saya dan (Ahli Parlimen Rembau) Khairy Jamaluddin kerana kami sayangkan parti, hukumlah kalau hendak tengok jadi macam dulu.
“Buang (Mohd) Shafie Apdal buang Muhyiddin Yassin, kita ingat mereka tak ada pengaruh tapi tengoklah,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beliau ditemui selepas perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Rengas oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mohamed Nazri merujuk kepada pemecatan dua bekas pemimpin UMNO oleh Najib sebelum PRU-14 lalu sehingga menjadi faktor kekalahan Barisan Nasional.
Semasa berucap Mohamed Nazri juga mendakwa Najib sebenarnya meminta jawatan Pengerusi BN pada asalnya kerana mahu menjadi perdana menteri semula.
Najib, dakwanya melihat peluang itu selepas kerjasama UMNO-Pas boleh menang PRU-15.
Beliau dalam masa yang sama juga mencabar pucuk pimpinan parti itu memecatnya jika kurang senang dengan kritikannya berhubung pelantikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN.
“Saya tak gentar, nak buang, buanglah, saya tak pernah serang presiden (UMNO) pun,” katanya lagi seperti dipetik dari Malaysiakini hari ini.
Nazri dan Khairy masing-masing sebelum ini dilihat tidak senang dengan pelantikan Najib itu.
Khairy sebelum itu mengakui tidak gembira dengan pelantikan Najib, sementara Nazri menyifatkan ia sebagai langkah ke terkebelakang.
BN pada 9 Julai lalu mengumumkan pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN – satu jawatan baharu yang diwujudkan.
Bagaimanapun, Nazri dan Khairy dalam sidang media itu menegaskan yang mereka tidak akan sama sekali meninggalkan parti itu.
Ketika sidang media itu, Khairy pula mendedahkan menerima banyak tawaran untuk lompat parti namun memilih untuk tetap setia bersama UMNO.
“Bukan satu, dua, banyak tawaran kami terima tapi sampai hari ini masih lagi bersama UMNO,” kata bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu.
Sementara itu, Nazri menyifatkan kempen “bossku” yang dibawa Najib tidak menyumbang kepada kemenangan UMNO dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Sebaliknya, kata Nazri, kempen “bossku” hanyalah program budak-budak yang tidak boleh diterjemahkan kepada undi.
“Bossku bukan parti politik, (ia lebih kepada) budak-budak untuk seronok tak boleh terjemahkan pada undi, tiga PRK bukan ‘bossku’ jadi faktor utama, itu rakyat bangkit,” jelasnya.
Nazri juga menyarankan Najib menjarakkan diri dari parti sekiranya sayangkan parti.
“Dia kata (tuduhan) fitnah, fitnah apa benda sudah ada pendakwaan, jawab di mahkamah bukan jawab di jalanan. Serahkan parti kepada pemimpin-pemimpin baru,” katanya.-MalaysiaGazette
Buang la klau berani. Mantap boss