Home Dunia Mengumpat guna Telegram, 2 pegawai Puerto Rico letak jawatan

Mengumpat guna Telegram, 2 pegawai Puerto Rico letak jawatan

Ricardo Rosello

SAN JUAN –Dua pegawai kanan kerajaan Puerto Rico meletakkan jawatan susulan penyebaran perbualan kontroversi dalam aplikasi Telegram melibatkan Gabenor Ricardo Rosello dan sekutu-sekutu rapatnya.

Rosello juga turut meletakkan jawatan ekoran skandal itu pada Sabtu.

Dua daripada 12 orang yang berada di dalam kumpulan Telegram itu, Setiausaha Negara, Luis Rivera Marin dan Ketua Pegawai Kewangan Puerto Rico, Christian Sobrin meletakkan jawatan pada Sabtu selepas 889 muka surat teks pesanan disebarkan oleh sekumpulan wartawan negara berkenaan.

Mereka menujukkan Rosello dan penasihat-penasihat terapatnya termasuk bekas dan pegawai kerajaan semasa, perisik perhubungan awam dan bekas pengurus kempen gabenor telah bertukar-tukar memes, komen-komen menghina, merendahkan wanita dan homofobia selain mempersendakan wartawan, ahli politik dan aktivis dalam satu perbualan dalam kumpulan Telegram tersebut.

Pesanan-pesanan itu juga turut merangkumi perbincangan mengenai dasar-dasar kerajaan, perkongsian maklumat rahsia kerajaan dan kerja-kerja kempen politik walaupun terdapat ahli kumpulan yang bukan pegawai kerajaan pada masa itu.

Desakan meminta Rosello meletakkan jawatan dibuat oleh ahli-ahli politik tempatan termasuk pentadbiran parti politiknya sendiri, Wakil Amerika Syarikat, Raul Grijalva, ahli Demokrat Arizona yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Alam yang menjaga wilayah-wilayah AS.

Ketegangan politik di negara tersebut semakin memuncak apabila pegawai-pegawai kerajaan mencari dana berbilion dolar daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan penjagaan kesihatan dan usaha pemulihan selepas tragedi ribut taufan pada tahun 2017.- MalaysiaGazette