Home Nasional Projek PSR: Ketua Menteri Pulau Pinang sedia temui Anwar

Projek PSR: Ketua Menteri Pulau Pinang sedia temui Anwar

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Chow Kon Yeow bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjelaskan dengan lebih terperinci berhubung projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) yang ingin dibangunkan kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengaturkan taklimat mengenai projek PSR untuk Anggota Parlimen Port Dickson itu jika ada keperluan.

“Saya menyambut baik inisitaif Datuk Seri Anwar bertemu dengan wakil nelayan semalam. Sebenarnya dalam minggu yang lepas apabila kami bertemu di Parlimen memang kami ada bertukar pandangan. Beliau pun ada bertanya apakah status terkini dan saya pun memberi maklumat terkini.

“Dari laporan yang saya terima hasil perjumpaan itu semalam memang isu bagaimana untuk menjaga kepentingan nelayan yang mana sentiasa menjadi isu yang kita prihatin. Itu bukan isu yang luar biasa tetapi memang isu yang perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta larian Padang Kota St Xavier Institution 2019, di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan penduduk dan nelayan Unit Sungai Batu, Permatang Damar Laut dekat sini bagi mendengar sendiri kegelisahan yang dihadapi kelompok nelayan di situ susulan cadangan projek berkenaan.

Chow berkata Kerajaan Negeri sebelum ini telah mengadakan taklimat dan perbincangan mengenai projek PSR dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dan jika perlu pihaknya akan mengaturkan taklimat untuk Ahli Parlimen.Ditanya mengenai bila pertemuan itu akan diadakan, beliau berkata pihaknya akan berhubung dengan Anwar dan akan menetapkan pertemuan itu secepat yang mungkin tertakluk kepada kesesuaian masa.

Tambahnya, beliau juga akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan 72 syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambakan laut itu pada Selasa ini.

“Saya percaya dalam syarat-syarat berkenaan juga mengambil kira tentang usaha-usaha mitigasi impak alam sekitar dan langkah-langkah untuk menangani isu-isu pihak nelayan dalam meneruskan aktiviti nelayan di kawasan tersebut,” katanya.

Chow berkata Kerajaan Negeri akan mengambil kira setiap kebimbangan yang disuarakan oleh para nelayan dan masyarakat setempat di kawasan yang terlibat dalam projek PSR serta membuat penyelarasan yang bersesuaian jika perlu bagi membolehkan projek itu tetap boleh diteruskan.

“Rakan penyampai projek SRS Konsortium telah bersedia untuk melakukan kerja untuk tahap seterusnya. Seperti yang sering saya katakan, kita tidak boleh bergerak ke tahap kedua kerja melainkan jika kita mendapat persetujuan.

“Kini telah mendapat kelulusan dan kita bergerak memasuki peringkat kedua kerja kerana peringkat kedua bermakna Konsortium SRS boleh membuat tuntutan daripada kerajaan.

“Oleh sebab itu sebelumnya mereka tidak boleh pergi ke peringkat kedua kerja kerana sekiranya tidak mendapat kelulusan tuntutan mereka tidak akan dilayan keranha ia merupakan prasyarat yang mereka perlu mendapatkan kelulusan dengan kos mereka sendiri tetapi selepas itu kosnya akan dibayar balik, “katanya.

Kerajaan Negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dan 50 tahun.Kerajaan Pulau Pinang telah menerima kelulusan laporan EIA bagi projek PSR daripada JAS pada 4 Julai lepas.- BERNAMA