KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan atau persekolahan yang berbeza serta pelbagai aliran menyukarkan usaha kerajaan untuk meningkatkan semangat perpaduan kaum di negeri ini seperti di dakwa beberapa pihak.
Sebaliknya, pemikiran ‘sempit’ setengah ahli politik yang menggunakan isu itu tanpa fakta kukuh sebagai propaganda yang kokonta perpaduan itu tidak dapat dicapai sehingga kini.
Itu luahan kekecewaan Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja kepada MalaysiaGazette dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Dr. S. Ramakrishnan baru-baru ini.
Ramakrishnan yang juga pemimpin DAP Johor merangkap Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri juga menyalahkan perbezaan parti politik yang berasaskan kaum di negara ini menyukarkan usaha ke arah penyatuan masyarakat selama ini.
Bagaimanapun menurut RT Raja, kenyataan Ramakrishnan itu tidak betul, sebaliknya apa yang menjadi jurang kepada perpaduan adalah propaganda serta pemikiran dan ideologi perjuangan segelintir ahli politik yang kemudian disemai di hati rakyat.
“Kita ada beribu pelajar yang bukan Cina seperti Melayu dan India belajar di sekolah Cina ketika ini. Tidak ada masalah bukan? Pada masa sama, kita telah berjaya melahirkan pelajar cemerlang sehingga berjaya di peringkat antarabangsa. Lupakah?
“Kita seringkali disajikan dengan berita-berita pelajar dari sekolah Tamil yang berjaya dalam bidang sains dan inovasi selain menang pelbagai pertandingan di luar negara sehingga mendapat pujian dunia, apakah latarbelakang pelajar-pelajar ini?
“Bahasa dan agama malah bangsa tidak memisahkan kita, memporak perandakan perpaduan seperti yang didakwa atau diulang-ulang secara lantang di luar. Pemikiran serta propaganda seperti ini yang semakin menjadikan ia berkecamuk.
“Bahasa ibunda dalam kalangan kaum di negara ini sangat penting, ia juga memberikan kekuataan integrasi dalam kalangan kita sebenarnya, jika ia pupus kita bukan sahaja hilang bahasa ibunda kita sendiri, sebaliknya juga kebudayaan, kepercayaan serta adat resam yang kita semai turun temurun.
“Banyak sekolah-sekolah Tamil didirikan ketika zaman 1950-an lagi terutamanya di estet-estet yang rata-ratanya dihuni oleh masyarakat India, tidak ada masalah sebegitu ketika itu, jadi mengapa tuding jari kini?
“Jangan lupa hampir rata-rata kita datangnya dari sekolah Tamil dan Cina, apa yang rosakkan perpaduan sehingga ini pun dijadikan satu isu oleh anda? Tolonglah fikir dahulu sebelum cakap, sempit dan kolot sangat pemikiran seperti ini,” katanya.
RT Raja yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang mengulas kenyataan Ramakrishnan ketika menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) tentang perkara yang menghalang kemantapan hubungan kaum di Johor semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar baru-baru ini.
Jelas RT Raja, dunia telah mengiktiraf sistem pendidikan berasaskan bahasa ibunda apabila Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengangkat kepentingan bahasa ibunda dalam pendidikan.
“UNESCO mencadangkan supaya pelajar menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar ketika awal persekolahan dan harus memperkasakan bahasa ibunda ke tahap yang lebih tinggi.
“Jadi mengapa anda bercakap seolah-olah perpaduan tergugat kerana sekolah pelbagai aliran? Pertubuhan antarabangsa memberi pengiktirafan tinggi terhadap pendidikan berasaskan bahasa ibunda. Saya hairan sangat-sangat,” ujarnya.
Pada masa sama, RT Raja juga menempelek Ramakrishnan kerana membuat kenyataan seumpama itu dan mendakwa propaganda serta idealogi seperti ‘Malaysian Malaysia’ sebenar tidak lebih daripada slogan retorik bagi mengelirukan rakyat.
“Sebenarnya, fikiran sempit seperti anda yang mahu ‘tangkap muat’ sahaja dalam memberikan jawapan dengan soalan-soalan tertentu selain daripada menuding jari tanpa fakta asas mengecewakan, apatah lagi rakyat yang mengundi mengharapkan lebih daripada ini.
“Apabila meminta undi, anda pergunakan juga kaum. Untuk undi kamu boleh cakap macam-macam, ketika itu semangat ‘ibunda’ sangat tinggi sehingga hendak makan pun mesti pilih kedai berasaskan kaum. Pada masa sama, anda bagi alasan seperti ini, apa sebenarnya niat kamu?
“Sampai bila hendak buat begini? Berterusan gunakan isu-isu seperti ini? Adakah kenyataan seperti ini mampu menyatupadukan kita atau sebaliknya? Tolong fikir dan bermuhasabah diri,” katanya. –MalaysiaGazette