Home Nasional Kerajaan akan teliti lanjut operasi hospital Cox’s Bazar

Kerajaan akan teliti lanjut operasi hospital Cox’s Bazar

Mohamad Sabu bercakap kepada media di lobi Parlimen. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2019

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan meneliti keperluan untuk meneruskan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh sehingga tahun 2021.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, buat masa ini kerajaan Bangladesh menyambut baik pengoperasian hospital berkenaan.

“Kita menerima cadangan kerajaan Bangladesh yang menyatakan hasrat mahu pengoperasian itu diteruskan.

“Bagi cadangan ini, kerajaan masih mempertimbangkan akan kewajaran meneruskan operasi hospital sehingga tahun 2021 mengambilkira kesan terhadap pelarian etnik Rohingya,'” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata demikian kepada pertanyaan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR) yang meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan keberkesanan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar Bangladesh dan halatuju penglibatan Malaysia dalam usaha kemanusiaan terhadap krisis Rohingya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja (AMANAH), pertambahan pelarian etnik Rohingya di Bangladesh sentiasa dibincangkan dalam peringkat kementerian Pertahanan Malaysia dan Myanmar.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, Myanmar memberi jaminan kesediaan menerima semula pelarian yang mempunyai identitinya.

“Pun begitu, masalah yang kita hadapi sekarang bagi mereka yang berhijrah ini ada dalam kalangan mereka yang tidak beridentiti, dan tidak mempunyai kad kerakyatan,” ujarnya.

Di negara ini, katanya terdapat lebih daripada 160,000 pelarian.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Presiden AMANAH itu kemudiannya menjelaskan, situasi kewangan semasa juga diambil kira bagi menentukan perkhidmatan hospital di Bangladesh itu perlu diteruskan atau sebaliknya.

“Malah kita juga perlu bekerja keras dan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi meneliti potensi untuk menambah bilangan doktor.

“Kami juga mahu memujuk negara lain turut menyertai kita dalam misi ini selepas Brunei, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi sudah menyatakan komitmen untuk bersama Malaysia dalam misi kemanusiaan ini,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette