KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. telah mencapai sasaran komersialnya dalam Shoaiba Consortium Sdn. Bhd. sebelum membuat keputusan untuk melupuskan kepentingannya dalam konsortium berkenaan.
Jelasnya, projek di Arab Saudi itu telah siap dan beroperasi sepenuhnya manakala pelupusan aset tersebut memberi keuntungan kepada Khazanah kerana dikira berdasarkan nilai aliran tunai masa hadapan projek tersebut.
Sayap pelaburan negara itu berkata, pelupusan kepentingan 40 peratus kepada Malakoff adalah sejajar dengan perjanjian pemegang-pemegang saham konsortium yang mana syarikat berkenaan merupakan salah satu pemegang saham selain Tenaga Nasional Bhd.
“Sejajar dengan perjanjian pemegang-pemegang saham konsortium berkenaan, kami menawarkan 40 peratus pegangan kami kepada rakan kongsi sedia ada.
“Malakoff kemudiannya menerima tawaran tersebut yang mana membolehkan Khazanah keluar daripada konsortium berkenaan dengan keuntungan yang baik berdasarkan nilai aliran tunai masa hadapan projek tersebut.
“Hasil pelupusan tersebut akan dilaburkan semula berdasarkan objektif dana komersial atau dana strategik atau akan digunakan untuk membayar hutang sedia ada sama seperti yang dilakukan terhadap hasil-hasil pelupusan aset yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khazanah menyertai Shoaiba Consortium Sdn. Bhd. bersama Malakoff dan TNB pada 2005 bagi menyokong syarikat-syarikat Malaysia memasuki pasaran pengeluar air dan tenaga bebas Arab Saudi.
Tambah syarikat itu lagi, Khazanah menilai semua peluang pelupusan pelaburan mengikut sasaran kewangan dan strategik.
Aset-aset boleh dipertimbangkan untuk dilupuskan apabila pelaburannya sudah mencapai objektif dan pulangan yang telah disasarkan seperti yang berlaku dalam kes Shoaiba Consortium .
Pelupusan itu juga, menurut Khazanah, adalah bergantung kepada kekuatan pasaran, ketersediaan, kualiti dan kredibiliti pembeli.
Pada tahun ini, pelaburan komited Khazanah berjumlah hampir RM1.4 bilion setakat ini dan telah berjaya mengurangkan keseluruhan hutang hampir RM6.4 bilion sejajar dengan strategi korporatnya.
“Kami menjangkakan akan melakukan lebih banyak pelaburan pada separuh kedua tahun ini berdasarkan peluang-peluang yang sedang kami terokai,” katanya. – Malaysia