PUTRAJAYA – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berhasrat mempertahankan jawatan pada pemilihan parti yang akan diadakan pada tahun ini.
“Saya bersedia untuk menerima cabaran dari mana-mana calon yang ingin bertanding jawatan itu. Tiada masalah,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini hari ini.
Menurut Mukhriz, mesyuarat khas Bersatu pada 20 Julai ini antaranya membincangkan syarat untuk bertanding tiga jawatan tertinggi parti itu iaitu pengerusi, presiden dan timbalan presiden.
“Saya tidak pasti lagi apa syarat-syarat yang akan diletakkan. Kena tunggu hasil mesyuarat itu nanti,” katanya.
Dalam mesyuarat hari ini, Bersatu bercadang meminda perlembagaan berkaitan pemilihan ahli jawatankuasa pada mesyuarat khas 20 Julai ini.
Dr Mahathir berkata pindaan itu bagi membolehkan ahli biasa memainkan peranan dalam menentukan pemilihan jawatankuasa peringkat cawangan dan bahagian manakala perwakilan bahagian pula menentukan pemilihan kepimpinan tertinggi parti.
Ditanya sama ada ayahnya, Dr Mahathir akan turut mempertahankan jawatan pengerusi parti, Mukhriz berkata beliau tidak pasti.- BERNAMA