KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi yang menyambung mendengar keterangan Penganalisis Bahagian Forensik Digital di Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara, Shuzairizman Shuib hangat seketika.
Ia berikutan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), V Sithambaran tidak berpuas hati dengan beberapa soalan yang diajukan peguam bela bekas Perdana Menteri, Harvinderjit Singh.
Sithambaran menyifatkan soalan-soalan yang diajukan tidak berpandukan matlamat tujuan oembelaan, sebaliknya mahu mendapatkan maklumat berkenaan intipati daripada telefon Blackberry yang dirampas daripada pegawai bank.
“Mereka selaku pasukan pembelaan sepatutnya perlu nyatakan apa yang mereka mahu dalam soalan. Ini fishing expedition,” katanya.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.
Terdahulu, Harvinderjit terdahulu selama setengah jam menyoal Shuzairizman berkenaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang mungkin dilakukannya ketika pengambilan maklumat digital daripada telefon yang dirampas daripada kakitangan AmBank Raja Chulan.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian mengarahkan Harvinderjit mengehadkan soalannya kepada sepuluh minit sahaja.
Saksi ke-46 perbicaraan SRC International Sdn Bhd itu kemudian dilepaskan namun menurut peguam beliau mungkin akan dipanggil semula jika diperlukan. – MalaysiaGazette