Home Ekonomi TalentCorp labur peruntukan tanpa pengetahuan Sekretariat SL1M

TalentCorp labur peruntukan tanpa pengetahuan Sekretariat SL1M

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) di MAEPS, Serdang. foto SAFWAN MANSOR, 24 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Lebih daripada suku dana yang diperuntukkan kepada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dilaburkan oleh TalentCorp tanpa pengetahuan sekretariatnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, sejumlah RM17 juta menggunakan peruntukan Program SL1M telah digunakan oleh TalentCorp pada 2017 dan 2018.

“Aktiviti pelaburan ini adalah tidak selari dengan peranan dan tanggung jawab Talent Corp selaku ejen pembayar bagi pihak Sekretarian SL1M,” kata laporan berkenaan.

Tambahnya, TalentCorp juga masih belum mengemas kini buku-buku kepentingannya dalam pelaburan berkenaan kerana masih menantikan penyata bank terkini bertarikh 31 Mac 2019.

Laporan tersebut mengesahkan Sekretariat SL1M telah menerima peruntukan sebanyak RM65.8 juta daripada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dari 2016 sehingga 2018.

Daripada jumlah itu 82.5 peratus atau RM54.3 juta telah dibelanjakan.

Sejumlah RM4.3 juta daripada keseluruhan RM4.5 juta telah digunakan pada 2016.

Manakala bagi tahun 2017, hanya RM24.5 juta daripada RM43.3 juta (56.6 peratus) telah digunakan disebabkan peruntukan tersebut lambat diterima.

Pada tahun 2018 pula, sejumlah RM25.5 juta atau 141.7 peratus telah dibelanjakan. Perbelanjaan tambahan adalah menggunakan lebihan peruntukan tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette