Home Sukan MFL lancar Next50 Strategic Blueprint

MFL lancar Next50 Strategic Blueprint

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU – Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim optimis pelancaran Next50 Strategic Blueprint 2021-2070 bukan sahaja menjadi penentu hala tuju Liga Malaysia untuk berada di peringkat tertinggi.

Sebaliknya, Tunku Ismail percaya perancangan untuk tempoh 50 tahun itu mampu mengangkat kelab-kelab Malaysia berdiri sama tinggi bersama kelab-kelab gergasi Asia seperti Jepun atau Korea Selatan.

Tunku Mahkota Johor menyifatkan Next50 Strategic Blueprint ini bakal menjadi titik permulaan dalam usaha mengangkat martabat dan nilai komersial Liga Malaysia di pentas antarabangsa.

“Pertama, saya mahu melahirkan rasa gembira kerana majlis ini berjalan dengan lancar dan satu akan menjadi progresif positif untuk membawa bola sepak Malaysia ke depan.

“Saya sangat gembira apabila kita sekarang telah memiliki perancangan dalam tempoh 50 tahun dalam usaha memajukan liga dan bola sepak Malaysia.

“Kita bersama-sama akan memandang ke depan dalam cabaran ini. Akhirnya, objektif serta hasrat sangat jelas di mana perancangan ini untuk membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi dan mahu membawa kelab-kelab dari Malaysia segah dengan pasukan-pasukan luar negara,”  katanya.

Turut hadir dalam acara itu yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studios itu semalam adalah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Timbalannya, Datuk Hamidin Haji Mohd Amin dan Datuk Wira Yusoff Mahadi yang juga Ahli Lembaga Pengarah MFL disusuli deligasi La Liga di Malaysia, Giorgio Rossi dan Penasihat Senior Pengerusi J League, Yumiko Kinoshita.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail mengakui kejayaan Next50 Strategic Blueprint hanya berjaya jika mendapat sokongan daripada semua pihak terlibat.

Titah baginda, perancangan tempoh jangka masa panjang tersebut tidak akan menepati sasaran jika kebanyakan pasukan masih enggan memberikan kerjasama dalam usaha mengangkat Liga Malaysia.

“Itu terpulang kepada semua pasukan yang bertanding.

“Jikalau mahu bola sepak Malaysia maju menuju ke hadapan, saya rasa semua orang harus memberikan kerjasama terhadap Blueprint tersebut kerana tidak guna jika kita ada macam-macam perancangan tetapi tidak mempraktikannya.

“Jadi semua orang harus memainkan peranan masing-masing,” tambah beliau.

Next50 Strategic Blueprint MFL menampilkan empat misi bermula misi pertama dengan memberi tumpuan kepada kualiti sukan bola sepak di Liga Super dan Liga Premier disusuli Misi kedua memberikan tumpuan kepada unsur modal insan MFL serta semua kelab Liga Super dan Liga Premier.

Manakala Misi ketiga adalah memberikan tumpuan kepada peminat serta komuniti Malaysia secara keseluruhannya disusuli Misi keempat memberikan tumpuan kepada aspek komersial MFL. – MalaysiaGazette