BANGKOK – Pemimpin junta Jen Prayuth Chan o-chan hari ini mengisytiharkan pemerintahan tentera Thailand berakhir apabila kabinet awam baharu dijangka mengangkat sumpah esok.
Lebih empat bulan selepas Pilihan Raya Umum pada 24 Mac lepas, kabinet baharu akan mengangkat sumpah di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn esok di Istana Dusit.
Ini menandakan tempoh Majlis Kebangsaan untuk Perdamaian dan Perintah (NCPO) akan berakhir iaitu NCPO dan kabinet akan melepaskan tugas mereka esok.
Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di televisyen, Ketua NCPO itu berkata Thailand kini ditadbir sepenuhnya sebagai sebuah negara demokrasi dengan monarki berperlembagaan dan ahli Parlimen yang dipilih dan kerajaan yang disahkan oleh Parlimen.
Lima tahun selepas beliau merampas kuasa pada Mei 2014, Prayuth berkata Thailand telah menghidupkan kembali integriti dan prestijnya sebagai negara yang kompetitif, hab pelaburan dan destinasi pelancongan utama.
Beliau berkata kerajaan tentera juga menerima pengiktirafan antarabangsa dalam bidang seperti kemudahan menjalankan perniagaan di negara itu, ketelusan, daya saing, penerbangan awam, memerangi perdagangan manusia, buruh asing dan perikanan.
“Enam hingga tujuh tahun yang lalu, Thailand dianggap sebagai negara di ambang kejatuhan. Kita telah membuktikan bahawa dengan tekad dan kekuatan, kita dapat menghidupkan semula integriti dan prestij, undang-undang dan perintah serta faktor lain yang menaikkan nama negara…Kita telah menunjukkan kepada dunia, kekuatan perpaduan kita dan keindahan budaya kita yang unik.
“Thailand kini adalah negara demokrasi sepenuhnya. Beberapa hak dan kebebasan dipelihara oleh perlembagaan selaras dengan norma-norma antarabangsa sedia ada dan masalah yang belum selesai akan diselesaikan melalui proses demokrasi tanpa sebarang kuasa khas,” katanya.
Minggu lepas, Raja Maha Vajiralongkorn memberi perkenan barisan kabinet awam baharu Prayuth hasil gabungan 19 parti.
Prayuth dijangka mengadakan mesyuarat kabinet pertamanya di Rumah Kerajaan selepas upacara angkat sumpah.
Sebagai ketua NCPO dan Perdana Menteri kepada kerajaan yang memerintah pada hari terakhirnya, Prayuth juga mengucapkan selamat berpisah dan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Thailand dan pegawai kerajaan yang telah memberi kerjasama penuh dengan NCPO.
Beliau juga berharap rakyat Thailand dan semua pegawai kerajaan agar terus memberi kerjasama penuh dengan kerajaan baharu.
Prayuth dijangka menyampaikan kenyataan dasar mulai 25 hingga 27 Julai.
“Dari situ, kami akan menangani cabaran utama yang dihadapi negara termasuk Bajet 2020, isu ekonomi teras, harga barangan dan hasil pertanian, masalah sosial, isu berkaitan taraf hidup, kebajikan negeri dan pembangunan kualiti kehidupan rakyat.- BERNAMA