KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad gembira dengan kejayaan Pakatan Harapan (PH) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan umur minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
Pindaan itu diterima baik 212 Ahli Parlimen termasuk ahli parlimen pembangkang.
Beliau dilihat dengan senyuman yang diukir dari riak wajahnya dalam sidang media selepas pindaan itu diluluskan.
“Ini satu hari bersejarah bagi Malaysia. Tidak pernah berlaku. Saya sudah biasa dengan parlimen ini tapi ini kali pertama satu undang-undang diluluskan dengan (sokongan) semua pihak. Tidak ada satu pun undi yang menolak.
“Ini satu era baharu yang mana parti lawan pun nampak kebaikan tindakan diambil kerajaan ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas menggulung RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan diterima tanpa pindaan menerusi undi belah bahagi.
Mahathir berkata, kerajaan turut berterima kasih pada blok pembangkang yang menunaikan janji untuk menyokong RUU berkenaan.
“Kita terima kasihlah kepada mereka tunaikan janji. Tidak seperti kali pertama kita hendak waktu tiga wilayah (Perjanjian Malaysia 1963),” katanya lagi.
Malaysia melakar sejarah baharu dalam proses demokrasi berparlimen apabila buat julung kali, satu RUU yang dibentangkan di Dewan Rakyat diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga daripada Ahli Parlimen.
Perdana Menteri berkata, keputusan 211 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 menggambarkan kematangan dan pencapaian rakyat yang memilih PH sebagai kerajaan baharu. -MalaysiaGazette