KUALA LUMPUR – Jumlah pampasan dan sebarang lebihan bayaran bagi projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) masih belum dimuktamadkan.
Ini kerana, sesi rundingan antara entiti komersial kedua-dua negara, iaitu syarikat Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd.
(SSER) dengan kontraktor projek iaitu China Petroleum Pipeline Bureau dan pembiaya projek iaitu China EXIM Bank masih dijalankan.
“Memandangkan sesi rundingan masih berjalan, jumlah pampasan dan sebarang lebihan bayaran yang telah dibuat masih belum dapat dimuktamadkan.
“Sebaik sahaja ia dimuktamadkan, Jabatan Peguam Negara akan mengesyorkan langkah terbaik bagi menuntut sebarang lebihan bayaran,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlin Chan Foong Hin (DAP- Kota Kinabalu) yang bertanya apakah usaha kerajaan dalam menuntut kembali RM3.54 bilion setelah TSGP dibatalkan dan apakah rancangan alternatif Kerajaan bagi menjana kuasa di Pantai Timur Sabah.
Jelas Guan Eng, pada masa yang sama, rundingan antara Kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Jabatan Peguam Negara dan wakil Kementerian berkaitan dengan Kerajaan China turut berlangsung bagi memastikan kepentingan dan hubungan erat antara kedua-dua negara terus kekal utuh.
Dalam hal ini, pasukan rundingan telah diberi mandat untuk merunding terma, pampasan dan syarat pembatalan kontrak dan pinjaman berdasarkan prinsip bayaran ke atas kos kerja yang telah siap.
Walau bagaimanapun, segala tawaran adalah tertakluk kepada pengesahan atau due diligence bagi menentukan kos sebenar yang ditanggung dan sebarang kos yang telah komited.
Guan Eng memberitahu, kerajaan menyedari terdapat situasi ketidakseimbangan dalam permintaan dan penawaran bekalan elektrik di pantai barat dan pantai timur Sabah.
Bagi menanganinya, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kerajaan Negeri Sabah sedang dalam proses memuktamadkan Pelan Pembangunan Penjanaan bagi Pantai Timur Sabah. – MalaysiaGazette