KUALA LUMPUR – Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak perlu menangguk di air keruh dengan membangkitkan semula kisah-kisah lama berkaitan video lucah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tindakan terdesak beliau itu hanya kerja sia-sia dan tidak menguntungkan rakyat.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melalui satu proses derita yang panjang melibatkan badan kehakiman, pihak berkuasa dan segala bentuk siasatan.
Fasa fitnah dan derita beliau sudahpun tamat dan beliau kini bersedia sepenuhnya sebagai bakal Perdana Menteri kelapan.
Menurutnya, membangkitkan semula kisah fitnah melibatkan Anwar Ibrahim adalah langkah pincang Khairudin untuk melindungi pemimpin tertentu.
Artikel berkaitan: Siasat juga video seks Anwar, kata Khairuddin
Sebagai Penyelaras Parlimen Jasin, beliau seharusnya menumpukan tugas untuk memperkasakan institusi masyarakat dan bukannya melakukan kerja sia-sia.
“Umum mengetahui bahawa Parlimen Jasin masih di bawah cengkaman UMNO dan Barisan Nasional.
“Dengan tindakan Khairudin yang berterusan melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah, saya yakin Parlimen Jasin akan terus kekal di tangan pembangkang,” katanya.
Justeru beliau menasihatkan Khairudin untuk berhenti melakukan kerja-kerja yang sia-sia kerana rakyat sudah jemu dengan politikus yang tidak bekerja untuk rakyat. – MalaysiaGazette