KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas tindakan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang dilihat berat sebelah berhubung usul merujuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, hari ini.
Menurut Khairy, beliau hairan dengan tingkah laku Speaker yang mengelak daripada mendengar usul pembangkang berhubung perkara tersebut.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu membangkitkan rasa tidak puas hati dalam sidang media bersama barisan pemimpin pembangkang antaranya Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Ahmad Maslan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Reezal Merican Nina Merican di lobi Parlimen.
Sebelum itu Ismail Sabri dan Reezal mempersoalkan alasan Mohamad Ariff menolak usul tersebut dengan alasan tiada kes provokasi sedangkan amat jelas menurut mereka Guan Eng telah berbohong di dalam Dewan apabila mengatakan wang GST telah dirompak oleh kerajaan terdahulu.
Menyokong kenyataan tersebut Ahmad Maslan turut menunjukkan laporan PAC muka surat 50, perenggan keempat baris pertama yang yang secara terang-terangan menyebut tidak ada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST.
“Macam mana dia boleh jadi hakim saya tak tahu lah,” kata Khairy merujuk kepada jawatan Mohamad Ariff sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik menjadi Speaker
Mengulas lanjut, Khairy berkata punca bayaran balik GST itu dimasukkan ke dalam akaun wang disatukan adalah kerana cukai yang dituntut terhadap GST masih belum diluluskan.
“Kenapa duit dimasukkan ke dalam akuan disatukan sebab cukai dituntut masih belum diluluskan. April tahun ini nyatakan hanya 6 bilion saja diluluskan untuk bayaran balik.
“Bayangkan tahun lepas sahaja RM1 bilion telah dibayar balik. Buat apa nak simpan dalam akaun GST. Baik pakai untuk bangunkan negara. Dan dalam akta dibolehkan Kementerian Kewangan keluarkan dan untuk dibelanjakan.
“Itu yang berlaku. Bukan jenayah. Kita cuma buat pengurusan aliran tunai dan disahkan Jabatan Audit Negara,” katanya.
Isu tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion itu menimbulkan kontroversi apabila Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut ‘dirompak’ semasa pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke PAC. -MalaysiaGazette