KUALA LUMPUR – Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku Artis (PRISM) digesa supaya memberikan notis tamat perkhidmatan kepada Pengerusi Music Rights Malaysia (MRM), Tun Zaki Azmi kerana tempoh perkhidmatannya telah berakhir.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani berkata, perkara itu perlu dilakukan segera kerana lantikan Zaki sebagai pengerusi MRM sebelum ini juga adalah untuk menyekat cadangan dan pelaksanaan polisi kerajaan melalui Memorandum Perbadanan MRM bagi menangani isu kutipan royalti antara badan pelesenan dan pengguna komersial muzik di Malaysia.
Beliau mendakwa, Zaki tidak mempunyai pengalaman dalam pengurusan badan pelesanan sebaliknya diatas sifat gelaran jawatan dan latar belakang dalam bidang perundangan dan juga politik.
Sekumpulan pihak dalam UMNO dahulu menjadi Little Napoleon untuk mempengaruhi ahli-ahli lembaga pengarah dan kementerian menerimanya sebagai Pengerusi MRM, dakwa Abdullah.
Malah, katanya, Menteri Perdagangan Negeri dan Hal EhWal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution juga perlu campurtangan berhubung perkara tersebut demi membela nasib lebih 20,000 penggiat seni tanah air.
“Saya harap ,menteri pangggil jawatankuasa PRISM segera buat penyelesaian dan Tun Zaki perlu diberikan notis kerana tempoh dia sebagai pengerusi telah habis.
“Kenapa biarkan dia berterusan menzalimi penggiat-penggiat seni sehinggakan orang yang telah meninggal tidak dapat haknya.
“Jadi, saya nak ingatkan menteri jangan dibiarkan kesengsaraan penggiat-penggiat seni ini berterusan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Abdullah berkata demikian kepada media sebagai membawa rungutan penggiat seni berhubung isu tunggakan royalti berjumlah RM16.4 juta yang masih dipegang MRM.
Mengulas lanjut Abdullah mendakwa, pengurusan MRM telah dikawal dan dikongkong oleh Zaki dan Ahli Lembaga Pengarah MRM yang mewakili badan pelesenan dengan tidak membuat bantahan dan terus memyembunyikan fakta sebenar daripada ahli-ahli.
Katanya, PRISM berpendapat sekiranya para penggiat seni terus berdiam diri dengan tidak melakukan reformasi terhadap pengurusan badan pelesenan masing-masing, pendapatan mereka akan terus dikaut atas pelbagai alasan diluar standard sebenar tanpa proses tadbir urus dan ketelusan yang menjadi tonggak kejayaan sesebuah badan pelesenan.
Awal tahun ini, isu agihan royalti penggiat seni hangat diperkatakan apabila pengkarya tampil menuntut hak masing-masing.
Isu royati tercetus apabila MRM yang ditubuhkan kerajaan pada 2016 hanya membuat bayaran agihan kepada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) dan Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM).
Perkara itu telah menimbulkan bantahan PRISM Berhad terhadap MRM atas kegagalan mereka membuat bayaran kategori pelaku iaitu penyanyi dan pemuzik berdaftar. – MalaysiaGazette