Home Dunia Risiko ditanggung pengguna aplikasi FaceApp

Risiko ditanggung pengguna aplikasi FaceApp

NEW YORK – Sejak beberapa hari lepas, kecoh diperkatakan tentang aplikasi FaceApp yang dibangunkan Rusia yang kini menjadi ‘kegilaan’ para pengguna untuk menukar penampilan mereka dari tua kepada muda dan sebaliknya.

Malah rata-rata pengguna seluruh dunia begitu taksub dengan aplikasi itu tanpa memikirkan risiko privasi mahupun keselamatan.

Agensi melaporkan, FaceApp yang dibangunkan oleh syarikat Wireless Labs itu didakwa menyimpan foto yang telah disunting di dalam sistem syarikat tanpa kebenaran pengguna.

Malah Forbes dan GQ melaporkan, aplikasi FaceApp yang berusia dua tahun itu yang kini secara tiba-tiba menjadi viral telah mencetuskan pelbagai isu berkaitan privasi maklumat penggunanya.

Pada hari ini seorang Senator Amerika Syarikat (AS), Chuck Schumer menggesa Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiasat aplikasi tersebut.

“Sangat membimbangkan jika maklumat peribadi sensitif rakyat AS diberikan kepada syarikat asing milik negara yang aktif bersikap keras terhadap AS di dunia siber,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wireless Labs, Yaroslav Goncharov memberitahu Washington Post bahawa syarikatnya tidak menggunakan foto diperoleh untuk tujuan lain. – MalaysiaGazette