Home Nasional ATM tunggu peruntukan baik pulih RKAT

ATM tunggu peruntukan baik pulih RKAT

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menunggu peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang didapati tidak selamat untuk didiami.

Dalam satu kenyataan Kementerian Pertahanan memaklumkan, pihaknya menganggarkan kos yang diperlukan bagi melakukan kerja-kerja sengaraan itu berjumlah RM400 juta.

Menurut kenyataan itu, pihak ATM melalui Kementerian Pertahanan sebelum ini telah memohon peruntukan perbelanjaan senggaraan RKAT sebanyak RM1,043.49 juta bagi tempoh 2015 hingga 2018.

“Bagaimanapun hanya sejumlah RM258.45 juta yang diluluskan. Oleh yang demikian, jumlah RKAT yang boleh diselenggara bagi tempoh berkenaan adalah terhad,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, daripada 12,261 unit yang tidak diduduki, 783 unit dikategorikan sebagai tidak selamat, 1,734 unit disyor roboh dan 9,744 adalah kosong dan rosak.

Ujarnya, bagi 783 unit RKAT yang dikategorikan sebagai tidak selamat, 535 unit adalah dalam proses dokumentasi untuk dirobohkan, manakala baki 248 unit akan dibaiki secara berperingkat.

Katanya, daripada 1,734 unit yang disyor roboh, sebanyak 227 unit telah dirobohkan dan 1,507 unit pula dalam proses kelulusan syor roboh.

“Bagi kategori unit kosong dan rosak pula yang mana melibatkan 9,744 unit, sejumlah
1,474 unit dalam tindakan penyelenggaraan dan naik taraf dalam tahun ini
menggunakan Peruntukan Khas 2019 sebanyak RM50 juta.

“Sementara baki 8,270 unit pula akan diselenggara dan dinaik taraf secara berperingkat mulai tahun 2020,” ujar Kementerian Pertahanan.

Kementerian berkenaan membuat kenyataan selepas merujuk laporan media terhadap laporan Ketua Audit Negara berhubung RKAT yang didapati tidak selamat untuk diduduki.

Sehingga Disember 2018, terdapat 54,497 unit RKAT yang telah disediakan
oleh ATM dan daripada jumlah itu, sebanyak 40,024 unit didiami manakala bakinya sebanyak 12,261 unit tidak didiami. – MalaysiaGazette