Home Seni Hidup Erra gementar tunai haji tanpa mahram

Erra gementar tunai haji tanpa mahram

Erra Fazira second wife politician minister Ahmad Faizal Azumu Perak
Erra Fazira

KUALA LUMPUR – Pelakon Erra Fazira mengakui dia mula berasa gementar untuk menunaikan haji pada awal Ogos ini.

Erra, 45, yang kini pengacara program Mingguan Wanita di Astro berkata, dia bakal menunaikan rukun Islam kelima itu bersendirian tanpa mahram.

“Saya akan berangkat menunaikan haji pada awal Ogos dan sebenarnya sudah lima tahun saya menyimpan hasrat ini.

“Ada beberapa syarat yang patut saya patuhi dan sekarang adalah masa yang sesuai, usia pun sudah layak dan Alhamdulillah saya dipanggil ke sana.

“Sejujurnya saya gementar tetapi sangat teruja dan sudah tidak sabar. Itu perkara baik dan perjalanan ini antara saya dan Tuhan, semoga ia dipermudahkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Aliff Syukri Legacy Cosmetics di Menara Mustapha Kamal, Damansara semalam.

Ibu tunggal itu memberitahu dia turut melengkapkan diri dengan ilmu agama dengan menghadiri kelas dan bertanyakan individu yang pernah mengerjakan haji sebelum ini.

Dalam pada itu, Erra teruja dilantik sebagai duta kepada produk terbaharu keluaran usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri.

Produk ASL Cosmetics telah berada di pasaran sejak sebulan lalu dan merangkumi 15 jenis produk kosmetik yang diformulasi sendiri oleh Aliff Syukri.

Antara produk yang dikeluarkan ialah gincu, maskara, bedak, pembayang mata dan concealer.

Selain Erra, penyanyi Wany Hasrita turut dilantik sebagai duta kepada rangkaian produk kosmetik itu. – MalaysiaGazette