Home Nasional Ops Gegar tumpaskan aktiviti pelacuran warga asing

Ops Gegar tumpaskan aktiviti pelacuran warga asing

Datuk Khairul Dzaimee Daud
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

PUTRAJAYA – Seramai 31 warganegara asing dan tiga warga tempatan ditahan dalam serbuan Ops Gegar selepas dipercayai melakukan aktiviti pelacuran di sebuah premis di Sungai Besi dekat sini pada  17 Julai lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan di premis terbabit, pasukannya menahan 27 warga asing iaitu 15 Indonesia, lapan Thailand dan empat Vietnam.

“Premis tersebut pernah diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 5 Disember 2018 dan kes pendakwaan masih dalam proses perbicaraan serta belum selesai.

“Lebih mengejutkan ketika serbuan terdapat seorang penjaga warga tempatan dan beberapa wanita warga asing yang pernah ditangkap dalam operasi sebelum ini.

“Premis tersebut giat menjalankan aktiviti pelacuran tanpa rasa takut dan bersalah walaupun telah beberapa kali diserbu dan diambil tindakan oleh pihak JIM,” katanya.

Katanya lagi, sebanyak lima Borang 29 (Saman Saksi) dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah menyalahgunakan pas atau permit, tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susualn.

“Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya lagi. – MalaysiaGazette