PORT DICKSON – Usaha Pakatan Harapan (PH) dalam menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan hanya sia-sia sekiranya pemimpinnya terus mengambil pendekatan untuk merebut kuasa.
Jelas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepimpinan perlu tahu sekiranya pemimpin terus bertelagah kerana gila kuasa, rakyat akan menolak gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.
“Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita adalah untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetul apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.
“Kita juga perlu tanya kepada diri kita apakah kita akan terus mendapat mandat rakyat jika mereka melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa, tanpa sedar kerana kita berebut-rebut itulah kita akan hilang kuasa,” katanya ketika merasmikan Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Sesi 2018/2019 yang berlangsung malam ini.
Mahathir yang juga Pengerusi PH turut menasihatkan kesemua ahli dan pemimpin-pemimpin parti komponen PH berusaha keras untuk bekerja seberapa mampu bagi memajukan Malaysia.
“Ini satu amanah dan apabila kita sudah tidak ada kuasa atau berhenti memegang kuasa, ukuran rakyat ialah samada kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah mereka serah kepada kita,” katanya lagi.
Walaupun tidak menamakan siapa namun ucapan perasmian itu dipercayai merujuk kepada pergolakan yang dihadapi antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Anwar sebelum ini secara terbuka mendesak supaya Mohamed Azmin meletakkan jawatan sekiranya video intim yang didakwa dirinya bersama bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz terbukti sahih.
Beberapa jam selepas itu, Mohamed Azmin membawa jawapan penuh sinis dengan menyuruh Anwar melihat ‘wajahnya di cermin’. -MalaysiaGazette