Home Ekonomi PSC: AirAsia akan failkan rayuan

PSC: AirAsia akan failkan rayuan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- AirAsia terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menggugurkan Permohonan Penarikan pembayaran tunggakan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) oleh AirAsia Bhd. dan AirAsia X Bhd. terhadap Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB).

Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun berkata, mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

“AirAsia percaya terdapat kesilapan di dalam keputusan mahkamah tersebut dan kami akan memfailkan rayuan.

“AirAsia akan memohon supaya pelaksanaan (pembayaran) ditangguhkan dan akan mencabar tindakan MASSB serta syarikat induknya Malaysia Airports Holdings Bhd. sehinggalah kami kehabisan cara mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AirAsia mengekalkan pendirian bahawa PSC adalah membebankan penumpang.

“Kami sekali lagi mengulangi pendirian bahawa tindakan undang-undang ini bukanlah berkenaan AirAsia dan MAHB sahaja.

“Sekiranya kami gagal rayuan di mahkamah tertinggi, penumpang terutamanya penumpang Malaysialah yang paling rugi kerana mereka yang perlu membayar perbezaan caj yang dikenakan MAHB.

“Kami percaya, rakyat Malaysia perlu mendapat layanan adil,” katanya lagi.

Untuk rekod, AirAsia tidak mengutip sebarang perbezaan caj PSC dan tidak menangguhkan pembayaran kepada MAHB.

MAHB mengenakan PSC sebanyak RM73 kepada pengguna-pengguna klia2 bagi destinasi Asean berkuatkuasa Julai tahun lepas.

Jumlah tersebut adalah RM23 lebih tinggi berbanding kadar sebelumnya yang dikutip AirAsia.- MalaysiaGazette