Home Nasional Sindiket palsu cop keselamatan Imigresen tumpas

Sindiket palsu cop keselamatan Imigresen tumpas

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud bercakap pada sidang media mengenai menumpaskan sindiket pemalsuan cop keselamatan di Jabatan Imigresen Malaysia, Menara ikhlas, Persiaran Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan cop keselamatan agensi itu yang didalangi warganegara Vietnam dalam satu serbuan di sebuah di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan yang dilakukan jam 12.05 tengah malam pada Khamis lalu pihakya telah menahan dua lelaki dan tiga wanita warga Vietnam.

“Sindiket ini didalangi oleh wanita berusia 51 tahun dan dibantu oleh adik perempuannya yang berusia 46 tahun.

“Kedua-dua mereka giat menjalankan aktiviti haram mereka di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Mereka hanya menyasarkan warga Vietnam yang mempunyai masalah pulang ke negara asal atas faktor telah tinggal lebih masa.

“Kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada mereka yang masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) tetapi tidak pulang selepas PLS tersebut tamat dan terus bekerja di negara secara haram,” katanya pada sidang media di Menara Ikhlas hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan, suspek berkenaan telah bertindak ganas di mana salah seorang daripadanya mengugut mahu mencederakan anggotanya dengan sebilah pisau pemotong daging.

“Bagaimanapun keadaan dapat dikawal dan tiada kejadian buruk berlaku. Selain itu, suspek utama juga cuba menghapuskan bukti dengan mencampakkan kesemua cop palsu itu dari tingkat 13 kondominium itu.

“Hasil serbuan sepasukan anggota menemui lapan cop keselamatan Imigresen yang dipalsukan iaitu cop keluar dan cop masuk.

“Turut dijumpai satu unit komputer riba dan sebanyak 61 pasport milik warga Vietnam serta menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan, warga asing yang ingin mendapatkan khidmat cop keselamatan itu perlu membayar antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap cop keluar dan masuk ke negara ini.

Katanya lagu, kesemua suspej telah ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan suatu pas atau endorsement.

“Mereka juga ditahan di bawah Seksyen 56(1)(I) akta sama iaitu menggunakan pas yang dipalsukan dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kebenaran sah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette