KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau memerlukan masa untuk hadam kenyataan bertulis Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melahirkan rasa gembira apabila timbalannya itu dikatakan bukan individu terbabit dalam video lucah yang sedang disiasat polis.
Dalam ciapan sepuluh minit tadi, Azmin berkata beliau sudah membaca kenyataan yang dibuat Anwar.
“Saya terbaca “kenyataan penuh” secara bertulis Presiden KEADILAN yang dikeluarkan petang tadi. Beri saya sedikit masa untuk memahami perkembangan baru ini,” katanya di Twitter.
Terbaharu, Azmin berkata beliau menerima kenyataan Anwar bahawa dirinya tidak terlibat dalam video itu.
“Setelah meneliti kenyataan penuh YB @anwaribrahim petang ini, saya mengambil maklum pendirian beliau yang menerima hasil siasatan yang diumumkan oleh KPN di mana saya tidak terlibat dalam video yang menjadi bahan fitnah,” ciap Azmin.
Anwar hari ini membuat kenyataan bahawa rata-rata berkata PKR menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengenai siasatan terhadap video yang dikaitkan dengan Azmin.
“PKR menerima baik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam bahawa Azmin tidak terbabit dalam video yang disebar baru-baru ini.
“Sebagai Presiden, saya gembira yang dia (Azmin) tidak terbabit berikutan proses pengecaman wajah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dengan individu dimaksudkan (Azmin),” katanya pada sidang media hari kedua Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di Port Dickson, hari ini.
Semalam, analisis pakar ke atas video lucah yang sebelum ini dikaitkan dengan seorang menteri tidak dapat mengaitkan pelaku dengan Mohamed Azmin.
Abdul Hamid berkata, proses pengecaman wajah ke atas video lucah itu yang dibuat CyberSecurity Malaysia adalah negatif, walaupun kebarangkalian ketulenan video lucah terbabit adalah tinggi. -MalaysiaGazette