KUALA LUMPUR – Selepas Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim bercerai sembilan hari yang lalu, nama ibu pelakon lelaki itu dikaitkan netizen sebagai punca keretakan rumah tangga mereka.
Hasnah Jidin, 59, yang selama ini berdiam diri, akhirnya tampil membidas tuduhan yang disifatkannya tidak berasas itu.
Sebagai ibu, kata Hasnah, tidak pernah terdetik untuknya melihat rumah tangga yang dibina anak lelakinya musnah selepas beberapa tahun.
Malah, beliau memberitahu, dia telah menentang perpisahan Fizo dan Mawar dan menasihati mereka untuk memperbaiki kemelut yang berlaku dalam rumah tangga.
“Beritahu saya ibu mana yang mahu anaknya bercerai. Saya menentang sekeras-kerasnya apabila dapat tahu mereka mahu bercerai. Kalau ada yang kata saya menghasut, semua itu dusta semata-mata.
“Malah saya menasihati mereka agar berbaik semula kerana mahu sangat melihat mereka hidup bersama sebagai satu keluarga yang bahagia.
“Tiba-tiba saya pula dituduh. Apa yang sebenarnya berlaku ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Hasnah memberitahu kesihatannya terjejas sejak mendapati tuduhan liar terhadapnya berleluasa dalam media sosial.
“Saya tidak membaca gosip. Tapi apabila perkara ini dibangkitkan, hati saya sangat tersentuh. Saya ini orang tua, bukan juga artis, jadi tidak elok dijadikan bahan bualan untuk topik negatif sebegini.
“Oleh itu saya minta hentikan cerita tidak benar ini. Berilah ruang kepada saya untuk hidup tenang bersama anak-anak, selain dapat beribadah dengan sempurna,” katanya lagi.
Nama ibu Fizo dipetik sebagai punca perceraian menerusi penjelasan “berkorban kasih demi Fizo dan keluarganya” secara berulang-ulang kali sejurus selepas sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor pada 10 Julai lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga sejak 10 November 2013. Menerusi perkahwinan selama enam tahun itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun. –MalaysiaGazette