KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang maut dalam kebakaran di Kampung Sungai Isap 2 di sini, pagi tadi.
“Takziah buat keluarga mangsa. Al-Fatihah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang solihin dan muttaqin,” titah baginda menerusi pesanan WhatsApp menerusi pegawai baginda.
Sultan Abdullah juga menitahkan supaya pihak berkuasa yang terlibat, untuk segera memberi bantuan termasuk membina semula tiga buah rumah yang musnah dalam kebakaran itu.
Pada kejadian 7.45 pagi tadi, mereka yang maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran itu ialah Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anaknya iaitu Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, serta Muhammad Adam Daniel, 7.
Mayat Sharifah Azlina dijumpai rentung dalam bilik belakang rumah itu manakala Muhamad Haikal dan Muhamad Adam Daniel ditemukan di sebuah lagi bilik belakang rumah yang dihuni lapan individu itu.
Kejadian juga menyebabkan suami Sharifah Azlina, Hairol Khalid, 38, adik Sharifah Azlina, Syed Azman, 25, dan isterinya Norazilah Abdullah, 23, parah.
Adik Norazilah, Nor Syawalina Abdullah, 19, pula cedera ringan, manakala anak Syed Azman, Muhammad Alif Asyraf, 6, tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata siasatan awal mempercayai kebakaran bermula di bahagian tengah rumah itu, sebelum merebak ke rumah berhampiran.
Katanya, bomba dengan kekuatan dua jentera bersama 17 pegawai dan anggota mengambil masa hampir 20 minit untuk mengawal kebakaran dan semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.
Selain rumah mangsa, sebuah rumah yang terlibat difahamkan adalah rumah ayah bekas pemain bola sepak Pahang, Zulhamuzan Zakaria, yang pernah membantu Pahang menjulang beberapa kemenangan sekitar awal 1990-an.
— BERNAMA