KUALA LUMPUR – Lelaki berusia 28 tahun ini mengakui dia pernah mengalami kerugian hampir RM100,000. Biarpun ibarat jatuh terduduk ketika itu namun semua itu tidak mematahkan semangatnya.
Sebaliknya Luqmanul Hakim Hamidi bangkit semula perlahan-lahan untuk menebus kesilapan tersebut.
Pengasas syarikat Health & Wealth Pro Right itu berkata, sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan warga kerjanya menjadi faktor utama yang mendorong dirinya kembali dalam perniagaan.
“Saya yakin ujian ini merupakan pembakar semangat dan percaya Allah SWT sedang mengatur sesuatu yang lebih baik pada masa depan, ” katanya memulakan perbualan.
Lugmanul Hakim memulakan perniagaan yang beribu pejabat di Alor Setar, Kedah bersama isteri, Nur Sabiha Sudin pada tahun 2017.
Ketika itu, dia nekad memperkenalkan formulasi sabun berjenama Yarra yang berjaya mengatasi masalah kulit anaknya yang menyebabkan dia berkongsi pengalaman dengan pelanggan yang berdepan masalah sama.
Namun siapa menyangka, produk sulung itu berjaya mengubah hidupnya dan keluarga yang sebelum itu hanya makan gaji sebanyak RM3,000 sebulan.
Yarra berjaya mencatat jualan menggalakkan sehingga dia pantas mengembangkan lebih banyak rangkaian produk di bawah jenama tersebut.
Malah produk popularnya, Yarra Set 4in1 pernah mencetuskan satu fenomena apabila produk berkenaan mencatat jualan sehingga 2,000 set sehari.
“Syukur alhamdulillan dan satu pencapaian yang luar biasa kerana pada masa itu kami tiada pesaing.
“Bermulalah dari situ, jenama Yarra terus mendapat tempat dalam kalangan pelanggan,” katanya yang mesra dengan panggilan Hakim.
Peningkatan jualan tersebut turut disokong oleh pengedarnya yang aktif mempromosikan produk keluaran syarikat sebelum ini.
Sehingga kini, syarikatnya memiliki 900 pengedar dan 10 stokis yang aktif di seluruh negara.
Syarikatnya juga berjaya mengubah taraf hidup para pengedarnya untuk menambah duit poket bulanan sehingga ada yang berjaya mencatat pendapatan mencecah RM10,000 sebulan.
Selain itu, Luqmanul Hakim yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak kini memperkenalkan produk terbaharunya Pro Right iaitu suplemen kesihatan untuk lelaki.
Pada masa sama, menyimpan cita-cita untuk membina sebuah kilang OEM (Original Equipment Manufacturer) pada masa depan.
Baginya melalui perniagaan, dia dapat membantu lebih ramai usahawan dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak muda dan penduduk
kampungnya yang kini mampu memperolehi pendapatan RM2,000.
Mereka yang berminat untuk menjadi pengedar dan mendapat produk boleh menghubungi talian 011-5506 2009. – MalaysiaGazette