TOKYO – Harga minyak naik dalam dagangan hari ini susulan ketegangan di Timur Tengah terus meningkat selepas sebuah kapal tangki Britain ditahan oleh tentera Iran hujung minggu lalu.
Niaga hadapan Brent menokok kepada AS$62.98 setong pada 0042 GMT, selepas penanda aras antarabangsa itu meningkat kepada AS$63.47 pada awalnya.
West Texas Intermediate turut naik kepada AS$55.78 setong selepas susut lebih 7 peratus minggu lalu.
“Penurunan permintaan global dan peningkatan stok Amerika Syarikat telah mendorong kejatuhan harga minyak tetapi faktor itu tidak bertahan disebabkan ketegangan di Teluk Parsi semakin meningkat,” kata Edward Moya, penganalisis pasaran kanan di OANDA di New York.
Pengawal Revolusi Iran mengatakan mereka telah menawan sebuah kapal tangki minyak British di Teluk selepas Britain merampas sebuah kapal Iran pada awal bulan ini.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) tidak menjangkakan harga minyak meningkat dengan ketara kerana permintaan semakin perlahan dan wujud ketegangan di pasaran minyak mentah global, kata Pengarah Eksekutif, Fatih Birol.
IEA mengurangkan ramalan pertumbuhan permintaan minyak 2019 kepada 1.1 juta tong sehari berbanding 1.2 juta tong sehari disebabkan ekonomi global yang perlahan. – MalaysiaGazette