Home Nasional KPDNHEP siasat penjualan gula-gula Ghost Smoke

KPDNHEP siasat penjualan gula-gula Ghost Smoke

Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan melakukan siasatan terhadap penjualan gula-gula Ghost Smoke di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan bertindak mengikut bidang kuasa berdasarkan Perintah Kawalan Harga dan Pelabelan Pengilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong 1980.

Katanya, dalam maksud itu semua perkara tertera pada bungkusan produk mesti dipatuhi dan penandaan butiran yang terkandung pada label pembungkusan haruslah serasi dengan produk dikeluarkan.

“Mesti ada kedai menjual, jadi kita akan tengok balik bagaimana produk itu dibungkus, apa isi kandungannya untuk menghasilkan produk itu.

“Dia mesti patuh penandaan butiran bagi maksud tujuan pelabelan untuk menberitahu isinya apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di kementeriannya di sini hari ini.

Ditanya sama ada KPDNHEP akan mengharamkan produk tersebut daripada berada di pasaran, Saifuddin memberitahu, langkah itu boleh diambil sekiranya terdapat kegagalan dalam mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Biar pegawai saya menjalankan dulu tinjauan penguatkuasaan. Kemudian, saya tak akan ragu-ragu. Mereka (pegawai KPDNHEP) kena segera beri laporan balas kepada saya bagi menentukan langkah seterusnya,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Mohd Fauzi Sahat berkata, beliau mendapati gula-gula itu dijual secara berleluasa di daerah di Papar, Sabah, yang dibeli pelajar sekolah.

Katanya, selain Papar, gula-gula berkenaan juga dikatakan turut dijual secara berleluasa di daerah lain termasuk di Kota Kinabalu dan kebanyakannya dibawa dari luar sekolah oleh murid. – MalaysiaGazette