Home Sukan Perak, Kedah setuju pengadil Jepun

Perak, Kedah setuju pengadil Jepun

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam bergambar bersama Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin (kiri) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Kedua Perlawanan Akhir Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Bilik Sidang Media, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kelibat tiga pengadil dari Jepun bakal mewarnai pentas final Shopee Piala FA 2019 yang menemukan dua jaguh dari utara, Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam yang memberitahu, pihaknya teruja menyambut kehadiran pegawai pertandingan dari negara matahari terbit itu.

Penglibatan khidmat daripada wakil Jepun itu bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana final Shopee Piala FA 2019 malah dapat memberikan kelainan baharu khususnya daripada aspek mutu pengadilan.

Bagi Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar, pihaknya turut mengalu-alukan kehadiran pengadil dari Jepun kali ini.

“Perak tiada masalah siapa juga pengadil kerana FAM lebih arif dalam pemilihan pengadil, kita selaku pasukan akur asalkan perlawanan berjalan dengan baik jadi tak perlu kita pertikaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pengelola Final Shopee Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit di sini hari ini.

Turut senada adalah Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin yang percaya pendekatan FAM dan MFL itu seharusnya dipandang daripada sudut positif.

“Kami menyambut positif dengan lantikan pengadil berkecuali, bukan menidakkan pengadil tempatan, mungkin perlawanan penting ini langkah terbaik adalah menggunakan khidmat pengadil asing.

“Ini kebiasaan berlaku apabila pengadil kita bertaraf FIFA pun menjadi pengadil perlawanan akhir di Liga Filipina,” jelasnya. – MalaysiaGazette