Home Utama Rasuah bebaskan PATI: Hakim Mahkamah Sesyen pula ditahan SPRM

Rasuah bebaskan PATI: Hakim Mahkamah Sesyen pula ditahan SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Seorang Hakim Mahkamah Sesyen pula ditangkap hari ini dalam kes rasuah melibatkan pembebasan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada minggu lalu.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengesahkan penahanan suspek terbaharu itu dalam satu kenyataan sebentar tadi.

“Saya mengesahkan bahawa SPRM telah membuat tangkapan terhadap seorang Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor petang tadi.

“Tangkapan ini berkaitan dengan kes tangkapan sebelum ini melibatkan seorang peguam dan timbalan pendakwaraya dan beberapa anggota polis baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah Latheefa, siasatan adalah berkenaan penahanan PATI yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar.

“Sejumlah wang telah juga dirampas semasa tangkapan dibuat,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Tengahari tadi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan seorang peguam dan timbalan pendakwaraya disambung reman dua hari bermula hari ini manakala sebahagian daripada enam anggota polis yang direman lima hari sejak Rabu lalu dilepaskan dengan jaminan polis.

Pada Rabu lalu, kedua-duanya telah ditahan bersama enam anggota polis berpangkat sarjan dan koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor.

Pada minggu lalu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab. Rahman mengesahkan mengenai penahanan enam anggotanya oleh SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan PATI.

Katanya, mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pembebasan 15 orang PATI.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Reman peguam dan timbalan pendakwaraya disambung dua hari lagi – SPRM