Home Nasional SPRM mahu pinda Seksyen 20 akta tangani masalah proksi

SPRM mahu pinda Seksyen 20 akta tangani masalah proksi

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berbincang sesuatu dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada Bengkel Regional On Promoting Beneficial Ownership di Hotel Park Royal Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang meminda Seksyen 20 Akta SPRM 2009 bagi membolehkannya mendapat peruntukan khas bagi menangani masalah yang melibatkan benifisiari sebuah syarikat yang berselindung dengan menggunakan proksi

Ketua Persuruhjayanya SPRM, Latheefa Koya berkata, suruhanjaya itu tidak mempunyai sebarang peruntukan undang undang yang membolehkannya bertindak terhadap masalah tersebut.

Menurutnya, kini hanya terdapat akta yang membenarkan agensi tertentu memastikan terdapat pendaftaran dilakukan dibawah penyeliaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang membolehkan pesalah didenda sekiranya gagal didaftarkan mengikut Akta Syarikat 2016.

“Namun mengikut pertimbangan SPRM, bagi membolehkan kami bertindak lanjut daripada segi mencegah rasuah, memasukkan satu peruntukan khas ini penting untuk menangani pemunya benifisiari yang berselindung di sebalik proksinya.

“Kita boleh lihat di mana contohnya seorang pemilik kenderaan jika disiasat, pemandu kenderaan itu menjadi pemilik sedangkan sebenarnya dia tidak mampu memiliki kereta itu dan ini antara kes yang kami tak berdaya menanganinya.

“Jadi kami (SPRM) perlu memastikan undang undang khas cukup untuk menyokong kami untuk menyiasat kes serius sebegitu bagi mengelak pesalah berselindung di sebalik nama proksi mengelak dihukum undang-undang,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapantama pada majlis perasmian Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisari di Asia Tenggara, Latheefa berkata,

SPRM mempunyai inisiatif untuk memasukan peruntukan baharu dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan sesebuah organisasi atau syarikat perniagaan atau individu yang melakukan kesalahan jika sesebuah syarikat perniagaan atau individu itu menjual projek atau tender kerajaan kepada pihak lain bermotifkan mengaut keuntungan tanpa mengendalikan projek atau tender tersebut.

Menurutnya, ia selaras dengan Rancangan Anti Rasuah Kebangsaan 2019-2023.

Katanya, peruntukan berkenaan seharusnya mewajibkan mana-mana pihak yang menerima manfaat menerusi jualan projek atau tender untuk mendedah atau mengisytiharkan pemilik benifisiari sebenar.

Memandangkan perkara ini pernah dibawa kerajaan dan diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Jpada anuari lalu, kata Latheefa, SPRM berharap ia dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

Sebelum itu, jelas beliau, SPRM akan berkongsi pandangan dan input tentang pentingnya peruntukan baharu itu bagi membolehkannya melaksanakan penguatkuasaan secara efektif.

“Ia adalah satu perkara yang sangat penting dan saya tidak lihat sebarang sikap sambil lewa dan jangkakan ia akan disegerakan oleh kerajaan namun saya tidak pasti sama ada berpotensi menjelang akhir tahun ini.

“Lagi pun bengkel ini penting untuk meneliti berkongsi pendapat tentang sebarang pertindihan dengan agensi lain dan itu kami sedang lakukan.

“Ini kerana kita ada undang udang di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), Akta Syarikat 2016 tetapi sama ada ia mencukupi atau memerlukan rujukan tambahan meminda akta SPRM serta memerlukan peruntukan baharu, itu yang kami sedang teliti secara mendalam,” katanya.

Malah katanya, undang-undang yang digunakan pakai oleh beberapa buah negara juga sedang dikaji. – MalaysiaGazette