Home Ekonomi Diskaun 50 peratus buat belia sertai persidangan Hi Home

Diskaun 50 peratus buat belia sertai persidangan Hi Home

Temubual bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin di Oval Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 JULAI 2019.

PETALING JAYA – Laman portal Hartabumi.com memberikan potongan sebanyak 50 peratus kepada golongan belia yang berhasrat untuk mendapatkan tiket bagi mengikuti program hartanah di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin berkata, pada mulanya harga asal tiket yang dijual bagi menyertai program berkenaan adalah sebanyak RM500.

Bagaimanapun kata beliau, diskaun diberikan kepada belia berusia 18 hingga 40 tahun yang berminat untuk mengikuti persidangan bercirikan hartanah itu.

Malah katanya, sekeping tiket lagi akan diberi secara percuma dengan berkonsepkan ‘beli satu tiket, percuma satu tiket’.

“Kita beri diskaun ini dengan tujuan untuk meramaikan lagi peserta yang akan mengikuti persidangan tersebut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Radzi berkata, program yang akan berlangsung pada hari tersebut akan diadakan melalui dua segmen iaitu persidangan hartanah yang akan disertai pelbagai personaliti hartanah daripada sektor korporat dan kerajaan.

Katanya, mereka akan mengupas pelbagai isu dalam bidang hartanah serta penyelesaian yang boleh diambil dalam mengatasi masalah pemilikan hartanah serta menambah baik industri hartanah di Malaysia.

Manakala, satu lagi program yang diadakan pada tarikh sama ialah Ekspo Perumahan Hi Home.

Tambah beliau, ekspo hartanah secara dalam talian itu berlangsung selama tiga bulan dan telah bermula sejak Julai tahun ini.

Ujarnya, ekspo itu menonjolkan sebanyak 100 projek perumahan baru bernilai RM5.4 bilion dan dijangka 1 juta pengunjung akan mengakses portal berkenaan untuk melihat projek perumahan yang ada.

Katanya lagi, pihaknya juga meletakkan sasaran jualan dalam tempoh tiga bulan berkenaan sebanyak RM500 juta dengan jumlah pembeli seramai 2,000 hingga 3,000 pembeli.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka hadir diakhir ekspo berkenaan iaitu pada 18 Oktober nanti.

Pemimpin kerajaan yang turut akan menghadiri persidangan berkenaan iaitu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Tiket untuk persidangan boleh dibeli secara dalam talian di https// event.hihomes.my – MalaysiaGazette

Hi Home jadi platform tangani masalah pemilikan rumah