
KUALA LUMPUR – Skuad Malaysia B-15 muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Haikou selepas menewaskan Korea Utara di Haikou City, China semalam.
Dalam perlawanan terakhir, anak buah P.Maniam meneruskan aksi cemerlang apabila mencatatkan kemenangan 2-1.
Skuad negara bermula garang apabila mendahului perlawanan melalui Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-20 perlawanan.
Kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat babak pertama sebelum pasukan muda negara melebarkan pendahuluan pada minit ke-57 melalui jaringan Nabil Qayyum Zainuddin.
Korea memperolehi gol tunggal dalam perlawanan ini menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Yom Chol Gong pada masa kecederaan lewat babak kedua.
Kemenangan 2-1 ini membenarkan Malaysia muncul juara selepas sebelum itu mengatasai Iran 2-0 sebelum mengikat tuan rumah China 1-1.
Kejohanan ini dianggap sebagai medan persiapan terbaik buat anak buah P.Maniam yang akan menyertai Kejohanan AFF B15 yang bakal diadakan di Chonburi, Thailand. – MalaysiaGazette