Home Seni Hidup Rambut, janggut Rasulullah SAW jadi tarikan

Rambut, janggut Rasulullah SAW jadi tarikan

Pengunjung, Asnida Ahmad bersama anaknya, Amir Hafidz (tengah) dan Aisyah Sofya (kiri) tidak melepaskan peluang melihat janggut Rasulullah SAW secara dekat pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kehebatan tamadun Islam tidak boleh dinafikan kerana sejarah telah membuktikan memiliki kegemilangan yang panjang bukan sahaja menyinari dunia Islam tetapi menyumbang kepada kebangkitan peradaban dan kemajuan di barat sehingga hari ini.

Banyak artifak dan peninggalan berkaitan sumbangan Islam terhadap dunia masih boleh dilihat sehingga kini dan tidak lain adalah bertitik-tolak daripada peranan dan amanah besar yang dimainkan Rasulullah SAW.

Justeru, penganjuran di Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat RA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) amat bertepatan sekali dalam mengenang jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW.

MGF22072019_Pameran+Artifak+Rasulullah+SAW+dan+Para+Sahabat_02
Pengunjung, Shaikh Abdullah bersama anaknya, Bella Qaleesha tidak melepaskan peluang melihat serban Rasulullah SAW secara dekat pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

Festival anjuran Manhajj Brothers Sdn. Bhd. bermula semalam hingga 4 Ogos depan dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan dari segi kehadiran pengunjung selain menjadi platform dapat melihat sendiri artifak peninggalan Nabi Muhammad SAW. Antara artifak yang boleh dilihat ialah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam, pasir makam Rasulullah dan kunci makam tersebut.

Artifak lain adalah pedang Muaz bin Jabal, pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan kunci Makam Saiditina Fatimah. Turut dipamerkan adalah senjata dan kelengkapan perang peninggalan Kerajaan Uthmaniah.

Dalam pameran ini, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat menarik berkaitan semua artifak yang dipamerkan antaranya sirah Rasulullah, peristiwa peperangan dalam sejarah Islam, gerakan penyebaran Islam serta maklumat tentang para sahabat.

MGF22072019_Pameran+Artifak+Rasulullah+SAW+dan+Para+Sahabat_05
Kelihatan seorang pengunjung melihat bekas tapak kaki Rasulullah SAW secara dekat pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

Menurut Pengarah Projek pameran tersebut, Razali Bachik, penganjuran pameran itu adalah satu langkah yang positif dalam memberi pendedahan serta menambah pengetahuan mereka tentang Islam dalam golongan muda termasuk pelajar sekolah.

“Ini merupakan satu usaha yang baik dalam menarik minat pengunjung lebih mengenali sejarah Rasulullah SAW serta Islam menerusi pameran artifak yang sarat dengan info berkaitan.

“Kami merancang agar pameran ini dapat diteruskan pada masa akan datang di seluruh negara dan lebih banyak artifak dipamerkan,” katanya.

MGF22072019_Pameran+Artifak+Rasulullah+SAW+dan+Para+Sahabat_13
Pengarah Projek Pameran Arifak Rasulullah SAW, Razali Bachik bercakap kepada media pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

Razali berharap, peluang menjejakkan kaki ke ruang pameran berkenaan dapat mendekatkan diri dengan baginda serta meningkatkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

“Pengunjung pasti merasa teruja dapat melihat sendiri artifak ini di depan mata. Hanya dengan melihat pameran ini dapat meningkatkan rasa cinta dan merasa dekat dengan Rasulullah SAW.

“Malah pengisian pameran berkenaan sedikit sebanyak menerbitkan rasa rendah diri dan keinsafan dirinya untuk lebih mengenali Islam,” katanya.

MGF22072019_Pameran+Artifak+Rasulullah+SAW+dan+Para+Sahabat_12
Kain penutup Makam Rasulullah SAW turut dipamerkan pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

Razali menambah, pihaknya menyasarkan kira-kira 150,000 pengunjung dijangka hadir menyaksikan pameran bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.

Beliau berkata, pameran ini juga bermatlamat untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi dan pengetahuan kepada pengunjung mengenai kegemilangan tamadun Islam.

Sementara itu, Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA itu memasuki penganjuran kali ke-10 yang bermula sejak tahun 2019.

MGF22072019_Pameran+Artifak+Rasulullah+SAW+dan+Para+Sahabat_06
Kelihatan pengunjung tertarik dengan baju perang Kerajaan Uthmaniah pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

Ia pernah menjelajah ke luar negara seperti Brunei, Singapura selain Padang dan Medan di Indonesia sebelum ini.

Pameran tersebut mendapat sokongan penuh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

PWTC bakal menjadi acara tahunan pameran tersebut yang bakal menjelajah di seluruh negara pada tahun ini.

Tiket masuk hanya RM20 untuk dewasa, RM10 untuk mahasiswa dan RM5 untuk pelajar serta percama untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun.

Pameran dibuka setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam. – MalaysiaGazette

MGF22072019_Pameran+Artifak+Rasulullah+SAW+dan+Para+Sahabat_16
Ruang yang menempatkan artifak Rasulullah SAW, sahabat baginda dan kerajaan Uthmaniah pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019