Home Ekonomi SSM keluar 122 notis kompaun terima inisiatif pengurangan

SSM keluar 122 notis kompaun terima inisiatif pengurangan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2019 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2019

PETALING JAYA – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengeluarkan sebanyak 122 notis kompaun yang menerima inisiatif pengurangan kompaun secara automatik sejak ia diperkenalkan pada 1 Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua kompaun berkenaan bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016.

“Mereka telah memperoleh diskaun di antara 30 hingga 85 peratus dengan nilai pengurangan sebanyak RM278,365 berbanding RM377,800 sebelum inisiatif pengurangan itu.

“Lagi cepat mereka melunaskan bayaran kompaun lagi tinggi nilai diskaun yang mereka perolehi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan SSM 2019 di Pusat Konvensyen Sunway, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd Aziz; Ketua Setiausaha KPDNHEP selaku Pengerusi SSM, Nor Azimah Abdul Aziz.

Saifuddin juga berkata, pendekatan itu bertujuan mendorong kepada komuniti korporat untuk mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016.

“Ia memberi kelebihan kepada syarikat korporat untuk menikmati kadar pengurangan kompaun yang lebih tinggi tanpa perlu mengemukakan rayuan pengurangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette