Home Nasional Henti jual Ghost Smoke untuk bendung gejala tidak sihat

Henti jual Ghost Smoke untuk bendung gejala tidak sihat

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang mahu menghentikan penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ disifatkan sebagai satu tindakan baik dalam usaha membendung gejala tidak sihat daripada menular di sekolah.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ibu bapa juga diseru memantau anak masing-masing daripada mengambil bahan yang sedang dalam tindakan kerajaan itu.

“Ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Mereka perlu memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan tiada yang terbabit.

“Macam-macam sekarang ni. Selain jam digital boleh bertukar menjadi vape, gula-gula yang disedut dan boleh dihembus menjadi asap pula semakin menjadi-jadi.

“Apa yang dimaklumkan serendah RM1. Duit yang diberi untuk makan, beralih pula untuk beli gula-gula seperti ini. Ibu bapa pantaulah anak-anak,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

Wan Azizah juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

Isnin lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan akan melakukan siasatan terhadap penjualan gula-gula Ghost Smoke di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak mengikut bidang kuasa berdasarkan Perintah Kawalan Harga dan Pelabelan Pengilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong 1980.

Media baru-baru ini melaporkan kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Isu itu mendapat reaksi banyak pihak, termasuk Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang mahu tindakan proaktif diambil segera untuk menangani isu berkenaan. – MalaysiaGazette

KPDNHEP siasat penjualan gula-gula Ghost Smoke