Home Utama Jumlah pengundi cecah 22.5 juta jika PRU-15 diadakan 2023

Jumlah pengundi cecah 22.5 juta jika PRU-15 diadakan 2023

Seorang pengundi menunjukkan jari berdakwat selepas membuat undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rantau, Bandar Ekar, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2019.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan pendaftaran automatik sebagai pengundi untuk rakyat berumur 18 tahun ke atas akan menyebabkan perbelanjaan pilihan raya meningkat berganda kepada RM1 bilion hingga RM1.2 bilion

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, perbelanjaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 ialah RM500 juta dan jumlah itu pasti bertambah walaupun pendaftaran automatik tidak dilaksanakan.

“Ini kerana sejak saya dilantik sebagai pengerusi, jumlah tenaga, saluran mengundi, bilik mengundi, malahan kemudahan untuk orang kelainan upaya telah ditambah.

“Jika mengambil kira pertambahan jumlah pengundi, maka perbelanjaan pasti akan meningkat,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Beliau berkata, apabila pendaftaran automatik dijalankan, sebanyak empat juta rakyat yang berumur 21 tahun ke atas akan menjadi pengundi secara automatik.

Katanya, penurunan umur pengundi kepada 18 tahun pula akan menjadikan pengundi muda berjumlah 1.5 juta hingga 1.6 juta orang didaftarkan, selain tambahan 500,000 orang setiap tahun.

“Jika pilihan raya diadakan pada 2030, kami menjangkakan jumlah pengundi akan mencecah 22.5 juta orang,” katanya.

Dalam usaha melaksanakan pendaftaran automatik, Azhar berkata, SPR sudah mempunyai perkongsian digital dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan sasaran seterusnya adalah menjalin kerjasama serupa dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.

Beliau berharap pendaftaran automatik boleh dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan, walaupun perkara terperinci mengenai masa pelaksanaannya masih perlu diteliti oleh Setiausaha SPR.

Sementara itu, Azhar berkata, SPR belum membuat apa-apa keputusan mengenai cadangan undian secara elektronik walaupun kaedah itu dikatakan dapat menangani pelbagai isu membabitkan pertambahan jumlah pengundi secara mendadak.

Katanya, antara isu yang dikaji termasuk keselamatan, keberkesanan dan kos undian elektronik.

Jelasnya, penelitian ke atas undian elektronik telah diadakan sejak tahun lepas dan usaha kajian itu tidak mempunyai kaitan dengan pendaftaran automatik dan penurunan umur pengundi. – MalaysiaGazette