Home Utama Pertama kali kes rogol boleh selesai siasat tanpa tahan suspek – Najib

Pertama kali kes rogol boleh selesai siasat tanpa tahan suspek – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa hairan apabila seseorang yang berdepan dengan dakwaan kes rogol tidak ditahan atau reman walaupun satu malam.

Sebaliknya, siasatan kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

Jelasnya, siasatan kes itu tidak seperti yang dilakukan terhadap Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang menyebut ‘kau bodoh’ dan di tahan selama tiga malam.

“Siasatan pertuduhan rogol pembantu rumah Indonesia yang dibuat ke atas Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong kini di tangan peguam negara.

“Semua dengan peguam negara, keputusan, arahan akan datang dari peguam negara,” kata Ketua Polis Negara.

“Ini juga kali pertama saya tengok kes rogol boleh selesai disiasat tanpa suspek ditahan atau direman walau untuk satu malam pun. (kalau pegang bahu sebut “Ko bodoh” pula kena duduk 3 malam di dalam),” tulis Najib.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang memaklumkan siasatan berhubung pertuduhan rogol yang dibuat ke atas Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong kini dalam ‘tangan’ Peguam Negara.

“Semua dengan peguam negara, keputusan, arahan akan datang dari peguam negara,” kata Abdul Hamid ringkas kepada wartawan semalam.

Tulis Najib lagi, Abdul Hamid juga tidak mengulas dengan lebih lanjut seperti mana kes video intim yang melibatkan seorang menteri kanan baru-baru ini.

“Maksudnya polis sudah passing bola ini kepada peguam negara,” soalnya.

Tambah Najib lagi, ketika ini semua rakyat Malaysia mahupun Indonesia sedang ternanti-nanti keputusan peguam negara, adakah beliau akan mendakwa pemimpin DAP itu atau bertindak menggugurkannya kelak.

Pada 9 Julai lepas, seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dicabul oleh majikannya yang juga merupakan exco kerajaan negeri.

Mangsa yang berusia sekitar 20-an membuat laporan polis Isnin lalu selepas dicabul majikannya berusia sekitar 40-an sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Difahamkan, Exco terbabit kemudian telah hadir bersama peguamnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 9 malam itu untuk beri keterangan lebih sejam sebelum dibebaskan. –MalaysiaGazette