Home Politik Semua Ketua Cabang PKR Perak ikrar sokong Anwar

Semua Ketua Cabang PKR Perak ikrar sokong Anwar

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Farhash Wafa Salvador hari ini mengetuai seluruh cabang negeri itu bagi menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, PKR negeri itu berkata, semua cabang di Perak telah menyatakan sokongan mereka kepada Anwar bagi menerajui parti itu.

“Bahawa kami menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh tanpa belah bahagi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menjadi nakhoda utama menerajui parti tercinta ini dan juga barisan pimpinan negeri sedia ada,” kata 24 cabang parti itu, hari ini.

Malah, mereka turut sebulat suara menyokong Anwar untuk diangkat menjadi perdana menteri kelapan.

“Bahawa kami menyatakan komitmen dengan apa jua kudrat dan sedaya upaya kami untuk menyokong dan membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara ini sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8,” demikian menurut kenyataan itu.

Isu sokongan terhadap Anwar timbul apabila 20 daripada 140 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menandatangani resolusi yang dicapai pada Majlis Temu Rapat MPP yang diadakan di Port Dickson, minggu lalu.

Mereka terdiri daripada Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dua Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian. -MalaysiaGazette