Home Nasional Kerajaan Selangor buka semula permohonan ‘hadiah masuk universiti’

Kerajaan Selangor buka semula permohonan ‘hadiah masuk universiti’

Amirudin Shari

SHAH ALAM- Kerajaan Selangor membuka semula permohonan bagi program Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) atau lebih dikenali sebagai ‘hadiah masuk universiti, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau berkata, mana-mana mahasiswa yang telah berdaftar untuk sesi pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta boleh memohon HPIPT berjumlah RM1,000 daripada kerajaan negeri bermula hari ini.

“Syarat kelayakan (permohonan) dari segi pendapatan minimum isi rumah juga telah dinaikkan daripada RM3,000 ke bawah kepada RM5,000 ke bawah.

“Mahasiswa boleh memohon untuk menerima hadiah masuk universiti ini di laman sesawang rasmi hpipt.selangor.gov.my dan tarikh tutup permohonan adalah pada 27 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara syarat kelayakan bagi permohonan HPIPT adalah pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia; pemohon lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan bersekolah di negeri itu tidak kurang daripada 11 tahun; telah mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi pengajian; dan pemohon adalah pelajar tahun pertama sahaja.

Amirudin berkata, pembukaan semula permohonan program itu selaras dengan tekad kerajaan negeri dalam memberdaya rakyat di Selangor menerusi agenda pendidikan yang holistik.

Jelas beliau, penambahbaikan program itu juga adalah supaya lebih ramai pelajar dan keluarga mendapat manfaat daripada hasil kerajaan negeri.

Selain itu kata Amirudin, program berasaskan agenda pendidikan seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan HPIPT, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Peduli Siswa akan terus ditambah baik demi manfaat rakyat di Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor sentiasa prihatin dengan nasib golongan muda yang bakal melanjutkan pengajian kerana mereka adalah pemimpin masa depan negara. – Bernama