SEOUL – Korea Utara hari ini melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat ke arah Laut Timur, langkah yang dilihat akan memberi tekanan kepada Amerika Syarikat (AS) selain memberi lebih banyak kelonggaran pada perbincangan nuklear dengan Washington.
“Korea Utara melancarkan sebuah peluru berpandu jarak dekat pada kira-kira pukul 5.34 pagi dan sebuah lagi pada pukul 5.57 pagi dari Semenanjung Hodo berhampiran bandar Wonsan di pantai timur ke Laut Timur,” kata Gabungan Pemimpin Tentera (JCS) seperti dipetik agensi berita, Yonhap.
Salah sebuah peluru berpandu itu terbang sejauh 430 kilometer (km) dan sebuah lagi terbang sejauh 690 km, kata seorang pegawai JCS sambil menambah, kedua-duanya terbang pada ketinggian 50 km.
“Kami mendapati beberapa ciri menunjukkan peluru berpandu kedua itu mungkin jenis baharu, yang mana memerlukan lebih analisis dan penilaian,” kata pegawai tersebut.
Mereka mengandaikan ia dilancarkan dari pengangkut pelancar penegak (transporter erector launcher- TEL) dan mendarat di Laut Timur.
“Kami percaya (pemimpin Korea Utara) Kim Jong-un baru-baru telah pergi ke wilayah ini dan latihan ketenteraan pada musim panas kini sedang diadakan di utara,” katanya.
Adalah terlalu awal untuk menyatakan jika ia adalah peluru berpandu balistik, sama ada kedua-duanya adalah jenis yang sama dan sama ada ia adalah peluru berpandu jarak dekat yang Korea Utara gunakan dalam ujian sebanyak dua kali pada Mei lalu, kata pegawai itu.
“Tentera kami memantau situasi ini jika ada pelancaran tambahan,” kata JCS.
Ujian tersebut dilakukan selepas 77 hari Pyongyang melancarkan peluru berpandu jarak dekat pada awal Mei lalu. – Agensi