Home Nasional Peguambela perlu lebih masa teliti mesej telefon Blackberry

Peguambela perlu lebih masa teliti mesej telefon Blackberry

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International yang terhenti akibat ancaman bom hari ini ditangguhkan sehingga Isnin depan setelah pasukan peguambela memohon lebih masa bagi meneliti baki log perbualan dalam telefon BlackBerry milik saksi ke-54.

Permohonan yang dibuat oleh Harvinderjit Singh setelah mendapat kebenaran untuk mengakses baki pesanan perbualan oleh bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu yang kebanyakannya berkisar kepada transaksi perbankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberi kebenaran kepada pasukan pembelaan untuk mengakses baki pesanan dalam telefon bimbit yang dianggap relevan untuk perbicaraan itu.

Pada awalnya, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berkata, beberapa bahagian mesej perbualan tidak dimasukkan dalam senarai bahan bukti kerana tidak relevan dengan kes.

Bagaimanapun, Mohd. Nazlan memberi peluang kepada pasukan pembelaan untuk mengakses baki perbualan dalam Blackberry Messenger milik Joanna dan pasukan pendakwaan tidak ada bantahan.

Mohd. Nazlan juga membenarkan permohonan Sithambaram supaya baki perbualan itu ditanda sebagai ‘ID’ yang bermaksud ianya hanya boleh dirujuk ketika memberi keterangan tetapi tidak kandungan tidak boleh dibaca di mahkamah.

Sithambaram kemudian memberitahu mahkamah pasukan pembelaan kini boleh menggunakan log perbualan itu sebagai persediaan untuk pemeriksaan balas pada Isnin ini.

Maklumat dalam telefon bimbit Blackberry yang telah di rampas ketika serbuan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di AmBank pada 6 Julai 2015.

Sebelum ini pada keterangan lepas, seorang Pegawai Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara, Shuzairizman Shuib yang juga saksi ke-46 menafikan pernah membocorkan mesej dan emel dalam telefon BlackBerry berkaitan dengan siasatan 1MDB pada tahun 2015.

Mahkamah kemudian ditangguhkan pada jam 3.25 petang bagi memberi laluan kepada pasukan pembelaan meneliti perbualan tersebut sebelum soal balas minggu depan.

Dalam pada itu, Mohd. Nazlan juga mengingatkan Joanna supaya tidak berbincang tentang keterangannya dengan sesiapa kerana terikat dengan sumpah kepada mahkamah sehingga selesai prosiding. –MalaysiaGazette