KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan merupakan prospek pembeli rumah yang disenaraihitam di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) perlu mengurus kewangan untuk membayar pinjaman perumahan dan pelajaran masing-masing.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penyenaraian peminjam PTPTN dalam CCRIS adalah dasar yang dilindungi.
Katanya, tidak bermakna bahawa mereka yang tersenarai dalam sistem itu tidak layak untuk membeli rumah sebaliknya perkara yang penting harus dititikberatkan kepada mereka ialah langkah pengurusan kewangan dengan bijak.
“CCRIS hanyalah skema maklumat untuk melihat kelayakan kredit seseorang. Bank masih bebas untuk meluluskan atau menolak permohonan pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan portal perumahan baru yang dikenali sebagai Hi Homes di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di hari ini.
Beliau berkata, kementeriannya akan melaksanakan satu mekanisme untuk menghapuskan senarai peminjam PTPTN yang terjejas dari senarai CCRIS sebaik sahaja pemberi pinjaman pendidikan itu memuktamadkan skim pembayaran baliknya yang baru.
Laman web PTPTN menyatakan bahawa semua peminjam yang sepatutnya membuat bayaran balik selepas tamat tempoh 12 bulan pinjaman mereka akan disenaraihitamkan di dalam sistem CCRIS.
Bagi tujuan mengelakkan daripada mereka tersenarai, peminjam mesti membuat pembayaran secara tetap.
Sementara itu ketika ditanya, mengenai kebimbangan peminjam PTPTN mungkin tidak mempunyai disiplin untuk membayar pinjaman perumahan mereka Zuraida berkata, beliau percaya prospek pemilikan rumah akan lebih bersikap komprehensif.
“Saya fikir dengan membayar sebanyak RM50 bagi pinjaman PTPTN ia tidak menghalang untuk pembeli rumah mendisiplinkan diri mereka untuk membayar hutang rumah.
“Mereka sudah tentu mempunyai pengurusan kewangan yang baik. Inilah yang kita cuba semai iaitu tabiat orang muda untuk untuk mendisplinkan diri mereka jika mahu memiliki rumah,” ujarnya
Beliau berkata, disiplin kewangan yang lebih baik membolehkan peminjam menguruskan pinjaman rumah dan pinjaman pelajaran mereka.
Dalam perkembangan sama, Zuraida ketika ditanya kenapa kerajaan bertekad untuk menggalakkan pemilikan rumah di kalangan belia, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, kerajaan memberikan pilihan kepada belia melalui skim sewa-sendiri.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu, Zuraida menegaskan keperluan untuk mengubah trend supaya orang ramai perlu memiliki harta pada usia muda.
“Semalam, ketika saya melancarkan program Dana My Home, seorang gadis berusia 22 tahun berkata dia dapat memiliki rumah menerusi program itu (Hi Home).
“Jadi sekiranya kumpulan muda ini dapat mendisiplinkan diri mereka pada usia muda, dari umur 22 tahun, dalam masa 10 tahun anda boleh berbangga kerana sudah memiliki harta,” katanya.
Jelasnya, harta tersebut boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi apabila harga pasaran semasa meningkat membolehkan pemiliknya mendapatkan rumah yang lebih besar dan selesa.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengasas serta ketua pegawai eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: