Home Sukan Baddrol optimis tambah koleksi keempat Kedah esok

Baddrol optimis tambah koleksi keempat Kedah esok

Baddrol Bakhtiar

KUALA LUMPUR – Kapten Kedah FC,Baddrol Bakhtiar mengejar misi menambah koleksi peribadi Piala FA keempat dan kelima untuk pasukan Lang Merah menjelang final menentang Perak FC di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Bintang tengah berpengalaman itu teruja dengan kejayaan melangkah ke final bersama Lang Merah pada edisi ke-30 itu.

Bagaimanapun pemain paling berjaya dalam sejarah pasukan hijau kuning itu pernah membantu pasukannya menjulang piala FA sebanyak tiga kali sebelum ini.

Baddrol membantu menjulang piala FA pada 2007, 2008 dan 2017.

Bagi Kedah ia akan menjadi koleksi kelima sejarah pasukan jika berjaya menundukkan Perak esok dan juga keempat dalam karier Baddrol sekaligus akan menempah nama dalam sejarah FA antara pemain paling banyak menjulang piala itu.

Beliau mengharapkan kerjasama pasukan yang tinggi pemain di setiap posisi berdepan The Bos Gaurus esok.

“Kami masih tidak lupa pada tahun 2010 hampir mendakap piala FA tetapi hilang pada sepakan penalti.

“Kali ini kami akan fokus sepenuhnya dan bekerja sebagai satu pasukan mengatur serangan apabila berdepan Perak di Stadium Bukit Jalil esok,” katanya dalam sidang media Lang Merah bersama Ketua Jurulatihnya di Bukit Jalil petang tadi.

Kedah mara ke perlawanan akhir selepas mengatasi cabaran Felda United dengan peraturan gol di tempat lawan – berikutan keputusan 3-3 secara agreget dalam dua perlawanan separuh akhir sebelum ini.

Bintang pertahanan tengah utama Kedah itu akan menjadi percaturan pasukan untuk menyekat segala strategi serangan yang akan diaturkan Perak di atas padang esok.

Jentera serangan yang dibarisi Jonathan Bauman dan Zaquan Adha antara pemain yang diyakini mampu beri masalah kepada kubu pertahanan Perak FC esok.

“Kami fokus kepada latihan dan tiada pemain yang mengalami kecederaan yang mana semuanya dalam tahap kecerdasan terbaik untuk dibarisi kesebelasan utama bagi mendukung misi final esok dan kami yakin mengulangi kejayaan 2017 kali dengan sokongan dan doa penyokong kami,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette