Home Nasional JPJeBID jana RM9.6 juta dalam masa 4 bulan

JPJeBID jana RM9.6 juta dalam masa 4 bulan

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid bercakap pada sidang media mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan siri Pulau Pinang di Kementerian Pengakutan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan perolehan hampir RM10 juta hasil daripada pelaksanaan sistem tender dalam talian (JPJeBID).

Menurut ketua pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, jumlah itu diperoleh sejak April lalu menerusi tujuh siri nombor pendaftaran.

“Dalam tempoh April sehingga ke hari ini, kita telah membina tujuh siri nombor di mana enam daripada adalah di Wilayah Persekutuan dan satu di Kedah.

“Secara keseluruhannya, perolehan yang diterima oleh kerajaan menerusi e-bidding ini adalah sebanyak RM9.6 juta. Kita rasa ini agak baik kerana e-bidding ini merupakan satu tindakan tidak meletakkan pembida itu berurusan secara langsung dengan pegawai JPJ, hanya dibuat dalam talian,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.

Ia melibatkan nombor pendaftaran FC di Putrajaya, Kuala Lumpur (VDN, VDP, VDQ, VDR, VDS) dan Kedah (KET).

Bagi nombor pendataran VDS, JPJ mencatatkan perolehan sebanyak RM1.2 juta dan RM862,881 bagi nombor pendaftaran KET bagi negeri Kedah.

Pelaksanaan sistem e-bidding mula dilaksanakan buat pertama kalinya di Kuala Lumpur bermula pada 21 Jun lalu.

Sistem itu menawarkan ketelusan permohonan nombor plat kenderaan bagi negeri lain mula dilaksanakan terutamanya di Kedah dan terbaharu di Pulau Pinang bermula 2 Ogos depan.

Kaedah pembayaran bidaan dalam e-bidding adalah dengan menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja. -MalaysiaGazette.