Home Politik Pemimpin PKR mahu sertai Gerakan: Tidak ada perbincangan secara langsung – Dominic

Pemimpin PKR mahu sertai Gerakan: Tidak ada perbincangan secara langsung – Dominic

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Sehingga kini tidak ada perbincangan secara langsung berhubung permohonan sekumpulan pemimpin PKR yang dikatakan mahu menyertai Gerakan, kata presiden parti itu, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Bercakap pada sidang media di Sungai Petani, beliau mengakui ada sekumpulan ahli PKR yang datang menemuinya dan memaklumkan hasrat mereka dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Ali untuk menyertai Gerakan.

“Perbincangan bukan secara langsung di mana ada pemimpin PKR dan pertubuhan jumpa dan beri maklumat bahawa Azmin nak masuk Gerakan,” katanya.

Ditanya sama ada kumpulan tersebut sememangnya mewakili Azmin, Dominic menjawab: “Saya tidak tahu mereka wakili sesiapa tapi memang ada pemimpin daripada NGO dan pemimpin PKR dan parti lain dalam PH ingin melihat penyertaan Azmin ke dalam Gerakan.”

Katanya, Gerakan sentiasa membuka pintu untuk sesiapa sahaja menyertai parti itu, bagaimanapun ketika ditanya adakah mereka akan diberikan jawatan, beliau berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakan soal itu.

“Borang pun belum terima macam mana nak bincang sampai tahap jawatan. Belum ada surat rasmi,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan berjanji akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Dominic turut mengulangi pendirian Gerakan dalam menerima masuk sesiapa sahaja ke dalam parti itu asalkan mereka bersetuju dengan ideologi Gerakan yang mahu memperjuangkan hak rakyat dan memajukan negara.

“Saya nak kata sebelum isu video seks itu, ada khabar angin kata Azmin nak masuk Parti Gerakan. Memang ada sekumpulan pemimpin PKR itu nampak Azmin dan pemimpin PKR itu nak masuk Gerakan.

“Oleh itu saya nak kata sesiapa yang bersetuju dengan ideologi parti Gerakan, setuju bahawa kita nak benarkan hak rakyat untuk buatkan negara kita sebagai negara maju.

“Kita alu-alukan kedatangan sesiapa mahupun Azmin atau sesiapa sahaja yang menerima ideologi parti Gerakan.

Semalam, Azmin dilaporkan akan meninggalkan PKR dan menyertai Gerakan.

Azmin dikatakan mengambil langkah itu berikutan pergeseran beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan tersebarnya video seks songsang yang dikatakan melibatkan Azmin.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Azmin, Hilman Idham, menafikan kononnya Timbalan Presiden PKR itu akan keluar parti selepas beberapa isu yang terpalit dengan dirinya.

“Malangnya, itu tidak akan berlaku. Mohamed Azmin akan tetap bersama PKR,” katanya semalam. -MalaysiaGazette